Wanita Malaysia semakin kompetitif

Iklan
Gambar hiasan

KEHEBATAN wanita pada hari ini tidak boleh disangkal lagi kerana ramai dalam kalangan golongan tersebut dilantik memegang jawatan penting baik dalam pentadbiran negara, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), parti politik dan syarikat korporat.

Tidak kurang juga kaum hawa yang berjaya menempa nama dalam perniagaan sehingga menjadi usahawan berjaya dan disegani.

Iklan
Iklan

Wanita Malaysia tidak lagi seperti dahulu yang dikatakan hanya berada di rumah menjaga anak, sebaliknya mereka bukan sahaja hebat menguruskan keluarga tetapi berupaya mengatur langkah dalam bidang diceburi.

Jika melihat kepada perkembangan semasa, beberapa negara dunia telah memberi peluang kepada kaum hawa untuk menerajui pentadbiran kerajaan seperti menjadi Perdana Menteri atau Presiden.

Iklan

Pastinya masyarakat dunia tidak akan melupakan peristiwa tembakan menyasarkan orang Islam pada hari Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang meragut 50 nyawa.

Peranan dan kewibawaan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam menangani tragedi tersebut membuktikan wanita mampu memikul tanggungjawab berat.

Iklan

Tidak kurang juga wanita di Malaysia mengorak langkah mendepani cabaran semasa dengan menerajui pelbagai badan, agensi dan syarikat seperti Mara, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ketua Hakim Negara, Bursa Malaysia, Bank Rakyat serta yang terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sistem pendidikan pada zaman ini dilihat berjaya merobohkan penguasaan lelaki dalam bidang tertentu. Menurut Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz, pelantikan wanita bagi jawatan-jawatan penting adalah selaras dengan keinginan kerajaan untuk mengisi kuota 30 peratus penguasaan di kerusi pemutus keputusan.

"Alhamdulillah, ia satu pengiktirafan kepada wanita. Kita sedia maklum jika di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), wanita menguasainya dengan kadar 70 peratus berbanding 30 peratus kaum lelaki.

"Jelas, lebih ramai calon wanita yang layak untuk mengisi bidang pekerjaan mengikut kelayakan akademik mereka. Penguasaan ini cukup bagi menggambarkan istimewanya wanita,” kata beliau. Norhimah tidak melihat wanita terlalu didiskriminasikan di Malaysia. Beliau melihat media sosial berjaya menonjolkan mereka.

"Bukan tidak ada wanita berjaya dalam bidang-bidang tertentu sebelum ini. Mungkin hanya kerana mereka kurang menonjol dan diberikan pendedahan,” katanya.

Jelasnya, jawatan tinggi bukan tempat untuk menunjukkan kehebatan sebaliknya ia lebih kepada kelayakan dan amanah untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan.Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, dominasi wanita tidak boleh diukur dari sudut jumlah mereka dalam sesebuah sektor semata-mata tetapi harus mengambil kira soal pengiktirafan, kemahiran dan pengalaman.

"Saya akui, wanita kini semakin ramai terlibat dalam sektor-sektor tertentu dan memegang jawatan penting seperti penjawat awam. Trend ini sedang berlaku di negara kita.

"Pendidikan berjaya menjadikan wanita berdaya saing. Jawatan yang diberikan kepada mereka hari ini pun sebenarnya adalah hasil kerja keras mereka sendiri,” katanya.

Namun begitu, penglibatan wanita dalam dunia politik masih rendah iaitu di bawah 20 peratus daripada saranan minimum sebanyak 30 peratus oleh badan antarabangsa."Lihat sahaja di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, berapa ramai wakil rakyat daripada golongan wanita? Begitu juga dalam kerajaan tempatan."Walaupun sudah ada perancangan ke arah meningkatkan jumlah itu, tapi usaha itu tidak begitu agresif,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia, Datuk Faridah A Jabbar berkata, penerimaan terhadap wanita bagi menerajui jawatan penting dalam sektor tertentu merupakan petanda positif.

"Ini merupakan pembuka jalan kepada lebih ramai wanita mendapat jawatan utama atau pembuat keputusan berdasarkan kepada kelayakan serta kemahiran yang dimiliki,” katanya.