'Pergerakan mata buaya penting ketika lakukan persembahan'

Iklan
Kemahiran membaca pergerakan khususnya mata reptilia itu amat penting ketika melakukan persembahan atau demonstrasi kepada pungunjung di taman buaya berkenaan. Beraksi dengan buaya seberat hampir satu tan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan keupayaan dan tindak balas haiwan liar itu yang sukar dibaca. - Foto FB Crocodile Adventureland Langkawi

LANGKAWI - Beraksi dengan buaya seberat hampir satu tan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan keupayaan dan tindak balas haiwan liar itu yang sukar dibaca.

Bagi pelatih buaya di Crocodile Adventureland Langkawi, Shamsuria Yahya, 50, kemahiran membaca pergerakan khususnya mata reptilia itu amat penting ketika melakukan persembahan atau demonstrasi kepada pungunjung di taman buaya berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kemahiran yang perlu ada untuk menjadi pelatih buaya ini ialah keberanian, kesabaran, mahir membaca gerak-geri buaya serta minat yang mendalam terhadap haiwan tersebut.

"Biasanya sebelum memulakan persembahan bersama buaya saya akan berdoa memohon keselamatan kepada saya. Semasa persembahan saya sentiasa memerhatikan pergerakan mata buaya dan perlu berhati-hati jika matanya mula bergerak-gerak,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Iklan

Shamsuria yang lebih mesra dipanggil Abang Sham berkata setiap kali melakukan persembahan bersama buaya dia sedar tentang risiko yang bakal dihadapi, namun tetap bersemangat memberikan aksi-aksi terbaik dan mendebarkan kepada pengunjung kerana minatnya terhadap haiwan itu.

Anak Jati Langkawi itu berkata, aksi-aksi berinformasi sambil menerangkan kekuatan dan anatomi buaya merupakan saat yang dinantikan pengunjung yang mahu mempelajari mengenai haiwan ganas itu.

Iklan

Menceritakan mengenai pengalaman sebagai pelatih buaya, Shamsuria berkata ia bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila dia perlu menggantikan seorang pelatih yang berhenti kerja di taman buaya itu.

"Saya kemudian belajar daripadanya cara melatih atau menjinakkan buaya dan mula minat kepada haiwan itu dan kini telah melatih lapan ekor buaya di sini,” katanya yang pernah mengalami kecederaan retak tulang keting kaki akibat dilibas buaya beberapa tahun lepas.

Katanya, buaya yang digunakan untuk membuat persembahan pula perlu dipilih dengan teliti termasuk dari segi karakter, jantina dan tahap agresif.

Sementara itu, Pengurus Crocodile Adventureland Langkawi, Zulhasymi Norhalim berkata, taman buaya itu kini memiliki kira-kira 3,000 ekor buaya terdiri daripada pelbagai spesies termasuk Crocodylus Novaeguinea, Crocodylus Porosus dan Tomistoma Schlegelii dengan yang paling besar seberat kira-kira satu tan.

"Kira-kira 7,000 hingga 8,000 pengunjung datang ke taman buaya ini setiap bulan yang memiliki pelbagai lagi tarikan berkaitan buaya. Selain itu Crocodile Adventureland Langkawi kini turut membina satu lagi tarikan terbaharu iaitu ‘Treetopia’ yang merupakan dua buah menara peninjau yang dibina pada dua batang pokok,” katanya. - Bernama