Arab Saudi sedia terima jutaan jemaah umrah sepanjang Ramadan

Iklan
Kesemua urusan perkhidmatan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah bersedia sepenuhnya menerima kunjungan jemaah dari seluruh dunia. - Foto AFP

KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan, kesediaan dua masjid agung umnat Islam sedia menerima kehadiran jutaan jemaah dan pengunjung untuk menunaikan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Imam Masjidil Haram yang juga Presiden Umum Urusan dua masjid suci di Arab Saudi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais, kesemua urusan perkhidmatan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah bersedia sepenuhnya menerima kunjungan jemaah dari seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Segala persiapan termasuk penyelenggaraan tangga elektrik, lif, sistem audio serta kesemua aspek teknikal, kejuruteraan, perkhidmatan, kesedaran serta bimbingan juga telah diberi tumpuan sepenuhnya, kata Sheikh Abdulrahman.

Beliau turut memberitahu, tenaga-tenaga pakar dalam setiap bidang akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk memastikan setiap fungsi berjalan baik selain penggunaan teknologi tertinggi diaplikasikan dalam usaha memastikan segala urusan berjalan lancar.

Iklan

Sejak awal bulan lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang Ramadan 1444H.

Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, permohonan itu terbuka kepada semua warga Saudi dan warga asing dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Iklan

Kerajaan Arab Saudi menegaskan, permit umrah bagi warga asing sah laku sehingga 90 hari, di samping mengingatkan para jemaah agar tidak tinggal di negara itu melebihi tempoh berkenaan. - Awani