Polis Perak lupus RM1.22 juta dadah

Iklan
Ravi Chandran melakukan gimik pelupusan ekshibit dadah di Edgenta Mediserve Sdn Bhd, di sini.

TAIPING - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.22 juta, hari ini.

Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner R Ravi Chandran berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 3,913 kertas siasatan sejak tahun 2004 bagi kes yang selesai perbicaraan.

Iklan
Iklan

Katanya, dadah jenis heroin paling banyak dilupuskan dengan berat 9.07kg diikuti ganja sebanyak 4.45kg dan syabu berjumlah 3.15kg.

"Pelupusan ekshibit dadah ini melibatkan 15 daerah iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.

Iklan

"Dari segi jumlah tangkapan dadah pula, tiga daerah mencatat jumlah tertinggi iaitu Ipoh, Taiping dan manjung," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Pelupusan Ekshibit Dadah JSJN Tahun 2018 di Edgenta Mediserve Sdn Bhd, di sini.

Iklan

Beliau berkata, selain dadah, turut dilupuskan daun ketum sebanyak 155 kg dan cecair ketum sejumlah 3.99 ml.

Sementara itu, mengenai tangkapan pesalah dadah pula, Ravi Chandran berkata, sejak Januari hingga November 2018, seramai 10,526 orang telah ditangkap.

Katanya, dalam tempoh tersebut 2,295 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengedar dadah dan jumlah tersebut meningkat empat orang berbanding pada tahun 2017.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 587 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952. Seramai 127 orang pula ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau pun perancang serta financier dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun 2018," katanya.

Dalam pada itu, Ravi Chandran berkata, pada tahun ini juga pihaknya berjaya membongkarkan dua makmal haram memproses dadah di Kampar dan Gopeng serta berjaya menahan 12 orang berkaitan makmal haram tersebut.

Katanya, JSJN Perak akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman gejala dadah di negeri ini bagi memastikan ia dapat dibendung secara berterusan membabitkan kegiatan mengedar dan memiliki.