IPOH - Sekolah Tamil di Perak disaran memberikan kerjasama lebih aktif terhadap pelaksanaan program anjuran kerajaan negeri khususnya yang melibatkan pembangunan sahsiah dan bakat murid.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan khas RM1 juta untuk pembangunan murid India serta sebahagian daripada RM12 juta bagi hal ehwal bukan Islam yang boleh dimanfaatkan pengurusan sekolah.
Bagaimanapun menurutnya, tahap penyertaan sekolah-sekolah Tamil dalam program dianjurkan adalah kurang memberangsangkan dengan penyertaan di bawah 50 peratus daripada keseluruhan 134 sekolah seluruh negeri.
"Saya minta guru besar lebih serius. Selama ini, kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah jika mereka memerlukan bantuan untuk pendidikan atau aktiviti.
"Ada peruntukan datang daripada kerajaan pusat, negeri dan wakil rakyat, tetapi kalau sambutannya kurang baik, eloklah kita tak perlu buang masa atau wang kerajaan untuk menganjurkannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Perak 2026 di Padang Ipoh, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak India Negeri Perak, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail dan bekas Jurulatih Kebangsaan, Datuk M Karathu.
Kejohanan yang diadakan secara tahunan itu menerima penyertaan 30 pasukan dan mendapat sokongan penuh kerajaan negeri serta Jabatan Pendidikan.
Sivanesan berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan secara konsisten antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
"Tahun lalu kita ada 61 pasukan, itu pun kurang daripada 50 peratus. Tahun ini lebih rendah, jadi saya lihat tahap kesungguhan itu tidak memuaskan.
"Saya akan berhubung dengan Pengarah Jabatan Pendidikan dan Persatuan Guru Besar bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran kejohanan berkenaan menjadi platform penting untuk mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan murid India berusia bawah 12 tahun.
Katanya, tiga pasukan terbaik akan mewakili Perak ke peringkat kebangsaan dengan pemilihan dibuat berdasarkan pemain terbaik dari pelbagai sekolah.
"Penyertaan dalam kejohanan ini adalah percuma sepenuhnya tanpa sebarang yuran dikenakan kepada sekolah atau ibu bapa.
"Harapan kita agar dapat lahirkan pemain yang suatu hari nanti mewakili negeri dan negara,” katanya.