IPOH – Kerajaan Perak sedang dalam proses menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah baharu bagi menggantikan Enakmen Jenayah Syariah 1992.
Enakmen Jenayah Syariah 1992 disifatkan tidak lagi relevan dengan keperluan semasa termasuk mempertimbangkan hukuman lebih berat bagi kesalahan tertentu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Jun ini bagi mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurutnya, semakan semula dibuat memandangkan enakmen sedia ada yang berkuat kuasa sejak 1992 telah menjangkau lebih tiga dekad dan beberapa peruntukannya tidak lagi sesuai dengan cabaran semasa.
“Kalau denda maksimum RM3,000, orang hanya senyum sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kes berkaitan akidah dan ajaran menyeleweng, hukuman perlu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Latihan Sukarelawan Masjid Daerah Kinta anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dewan Saidina Omar, Institut Tadbiran Islam di sini pada Ahad.
Hadir sama Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Harith Fadzilah berkata, tujuan pindaan bukan untuk menghukum secara berlebihan, sebaliknya memastikan hukuman yang dikenakan mempunyai kesan pencegahan dan bersesuaian dengan tahap kesalahan.
Katanya, semakan bukan hanya melibatkan Enakmen Jenayah Syariah, malah turut merangkumi beberapa enakmen lain yang berkaitan.
“Baru-baru ini Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perak telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perak dan kini kita memberi tumpuan kepada enakmen berkaitan kesalahan syariah.
“Selain itu, satu enakmen baharu mengenai tasawuf dan tarekat juga sedang dibangunkan oleh Jabatan Mufti bagi mengawal selia pihak yang mengendalikan tarekat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, jika proses berjalan lancar, enakmen berkaitan tasawuf dan tarekat itu dijangka dapat diwujudkan sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan.
Sebelum ini, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk memaklumkan Mesyuarat Penggubalan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Perak) Bilangan 1/2026 yang diadakan pada 27 April lalu bertujuan membincangkan cadangan penggubalan semula Enakmen Jenayah Syariah 1992.
Cadangan itu antara lain bertujuan mereformasi serta memperkukuh peruntukan hukuman sedia ada selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), sekali gus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang syariah di Perak.