JAIPk tidak iktiraf kad perakuan nikah persatuan ulama Rohingya

Iklan
Harith Fadzilah menegaskan, JAIPk tidak mengiktiraf kad perakuan nikah yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mengiktiraf kad perakuan nikah yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.

Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, perkahwinan melibatkan komuniti berkenaan tidak boleh didaftarkan secara rasmi kerana belum ada penyelarasan di peringkat negeri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, meskipun terdapat kes perkahwinan yang memenuhi rukun nikah dari sudut hukum syarak, ia tetap tidak diiktiraf dari segi undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau menjelaskan, susulan perkenan Majlis Raja-Raja, satu mekanisme sedang dirangka di peringkat nasional bagi membolehkan perkahwinan komuniti Rohingya didaftarkan secara sah melalui saluran rasmi.

Katanya, cadangan semasa adalah membenarkan perkahwinan antara Rohingya dengan Rohingya sahaja, tertakluk kepada syarat memiliki Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Iklan

“Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama jabatan agama negeri bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu ini.

"Sebarang keputusan perlu diperkenan dan digazetkan oleh negeri sebelum boleh dilaksanakan," katanya.

Harith Fadzilah akui, perkara berkenaan bukan mudah kerana melibatkan soal nasab keturunan serta implikasi undang-undang.

"Di peringkat jabatan agama negeri, kita memahami isu yang berlaku dan sedang berusaha ke arah penyelesaikan. Keadaan sebegini tidak boleh dibiarkan berlarutan, ia perlu diselesaikan segera," katanya.

Terdahulu, tular perkongsian di media sosial mengenai status dan kesahihan kad perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya apabila dikeluarkan oleh sebuah persatuan komuniti.