'Bukan untuk robohkan empayar Syed Mokhtar' - Anwar

Iklan
Anwar, Syed Mokhtar

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan arahan yang dikeluarkan kepada syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membayar kepada pesawah miskin bukanlah bertujuan merobohkan empayar Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, perbincangan telah dibuat bersama tokoh konglomerat itu sebelum arahan dikeluarkan.

Iklan
Iklan

"Saya telah mengadakan perbincangan baik dengan Syed Mokhtar dan beliau bersetuju," katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Kewangan pada Selasa.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai kritikan pihak tertentu selepas Bernas diarahkan untuk membayar RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah miskin.

Iklan

Beliau berkata, rundingan lanjut antara Bernas dan Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut akan dilakukan kerajaan dalam masa terdekat.

Jelas Anwar, rundingan semula tersebut akan memperincikan bagaimana jaminan dan keselesaan dapat diberikan kepada pesawah yang miskin termasuk di Kedah.

Iklan

"Saya tidak faham kenapa ia jadi masalah, sudah berpuluh tahun isu Bernas tetapi ini kali pertama saya cakap. Cukuplah," tegasnya.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat bukan mudah kerana berdepan dengan sebuah syarikat konglomerat.

"Apa yang jadi masalah dalam negara kita? Apa yang hendak dipolitikkan? Saya ambil keputusan bukan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang berbilion, ini semua syarikat paling kaya dalam negara kita.

"Apabila kita ada kuasa, buat sedaya upaya dan saya fikir sebaiknya kita boleh berunding secara teliti, faedah kepada pesawah lebih baik.

"Jeritlah sekuat mana Melayu dan Islam, tetapi nasib orang Melayu yang miskin tak terbela, tiada makna bagi saya," katanya.

Anwar pada Isnin menegur Syed Mokhtar yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan mengizinkan pembolotan kekayaan oleh tokoh politik dengan begitu mudah yang menghisap darah pesawah padi miskin.