PRU15: Bersedialah mengundi dalam banjir

Iklan
Hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negara. - Gambar hiasan

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah memasuki hari keenam. Suasana semakin rancak apabila calon-calon bertanding sibuk turun padang untuk bersua muka dengan pengundi.

Dalam keghairahan calon-calon daripada pelbagai parti politik merayu undi, ada pengundi yang tinggal di kawasan rendah sama ada di bandar mahupun di taman perumahan berasa gelisah setiap kali melihat awan berarak mendung.

Iklan
Iklan

Bagaimanalah pengundi tidak bimbang, bulan November ini mereka terpaksa berjaga-jaga kerana jika hujan dua tiga jam sahaja banyak kawasan rendah dinaiki air dan memungkinkan berpindah.

Tambahan pula, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir lebih kerap pada sebelah petang hingga malam yang dijangka berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung bermula Selasa lalu hingga Jumaat ini.

Iklan

Negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Berdasarkan analisis model MetMalaysia, penumpuan angin diramal terjadi di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak. Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Iklan

Bukan itu sahaja, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPA) pada Isnin memaklumkan sebanyak 18 batang sungai di tujuh negeri melepasi paras amaran dan waspada.

Paras air sungai tahap waspada turut dicatatkan di Sarawak, Pahang, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Di Pahang, Sungai Kundang, Maran mencatatkan paras 19.66 meter, manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku (17.24 meter) dan di Paloh Inai (9.53 meter). Sungai Triang pula melebihi tahap 33.5 meter.

Aras waspada adalah apabila aras air sungai mula meningkat dari aras normal manakala aras waspada adalah apabila aras air sungai menghampiri aras banjir dan bersedia untuk melakukan perpindahan jika perlu.

Keselamatan

Melihat data-data ramalan minggu ini, pasti penduduk tidak lagi memikirkan soal mahu mengundi siapa dan parti mana, sebaliknya membuat persiapan diri untuk menghadapi musibah adalah lebih penting. Keselamatan diri lebih diutamakan.

Kita akui ramalan itu ada kalanya tidak tepat, tetapi kini sudah dapat dilihat apabila beberapa kawasan dilanda banjir secara tiba-tiba.

Sebagai contoh, musibah ini melanda penduduk di Perak pada Sabtu lalu menyebabkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 494 mangsa banjir melibatkan lapan buah kampung di daerah Larut, Matang dan Selama.

Malah, hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negara mengalami banjir kilat termasuk di Shah Alam, Selangor.

Jika ramalan MetMalaysia ini tepat dan berlarutan pula sehingga minggu depan, rakyat di 222 kawasan Parlimen dan tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Perlis berkemungkinan besar akan mengundi dalam keadaan banjir. Kita berdoa agar ia tidak berlaku.

Boleh jadi tidak ramai yang sanggup meredah banjir semata-mata untuk membuang undi, tapi tidak tahulah masing-masing punya semangat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga ada membuat kenyataan bahawa keputusan untuk menangguhkan PRU15 sekiranya berlaku banjir besar adalah tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ujarnya, kerajaan bagaimanapun telah melakukan persediaan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen dengan melibatkan semua agensi di seluruh negara.

"Kita bersedia tetapi kalau berlaku banjir yang besar sehinggakan tak membolehkan orang nak keluar mengundi, maka saya akan berbincang dengan pihak SPR kalau ada alternatif lain,” kata Perdana Menteri baru-baru ini.

Kesimpulannya, tepuk dada tanyalah hati. Kita hanya dapat mengharapkan yang terbaik menjelang hari pengundian 19 November nanti.

Mengundi itu penting untuk kestabilan politik dan kesejahteraan negara secara keseluruhan.

Namun, kalau sudah nyawa dan harta benda rakyat menjadi taruhan akibat banjir, fikirlah semasak-masaknya.

*Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang