PRU15: Beri peluang kepada calon muda - Annuar

Iklan
Annuar (tengah) bersama Siew Mun (lima dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian jentera parti BN ketika melawat Bilik Gerakan BN Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Lurah Bilut pada Rabu. - Foto Bernama
BENTONG - Dalam sesi turun padangnya bagi membantu calon BN berkempen, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta pengundi memberikan sokongan kepada calon muda yang diketengahkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, pemilihan calon muda merupakan pendekatan yang baik bagi mengetengahkan potensi pemimpin masa depan negara.

"Ia menandakan BN melihat kepada masa depan, untuk melatih pemimpin muda yang mempunyai potensi,” katanya majlis penyerahan peranti komuniti sempena Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Felda Lurah Bilut, di sini pada Rabu.

Siri turun padang beliau bagi membantu calon-calon BN berkempen itu turut disertai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut Wong Siew Mun.

Pada PRU15, Siew Mun akan ditentang Mohd Shokri Mahmood (Pejuang-Putra), Datuk Seri Chandra Balabedha (PN-Gerakan) dan Lee Chin Chen (PH-DAP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala 15 November hari pengundian awal. - Bernama