216kg ganja dirampas, 7 termasuk bapa, anak ditahan

Iklan
Kamarul Zaman menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM542,674 dalam empat serbuan ketika sidang akhbar di IPK Johor pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Tujuh ahli sindiket pengedaran dadah termasuk bapa dan anak serta tiga remaja ditahan polis dalam empat serbuan berasingan di daerah ini pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan dari jam 10 malam Khamis hingga 3 petang Jumaat, pihaknya merampas 216 kilogram (kg) ganja bernilai RM540,257 dan menahan tujuh suspek berusia 17 hingga 47 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi serbuan pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan dua remaja lelaki di tepi jalan di Taman Pelangi.

"Hasil siasatan yang dijalankan telah membawa kepada serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Taman Abad di sini yang dijadikan lokasi membungkus ganja dalam bungkusan kecil.

Iklan

"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga anak kepada dalang sindiket tersebut bersama-sama seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia 18 tahun," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut ke atas suspek remaja itu membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah sewa di Bandar Tiram dan menahan seorang lelaki yang juga dalang sindiket tersebut.

Iklan

"Menerusi serbuan ketiga itu pihak polis menjumpai beberapa bungkusan dadah.

"Penahanan tersebut membawa kepada serbuan terakhir di sebuah rumah teres di Taman Puteri Wangsa yang dijadikan tempat penyimpanan ratusan ketulan mampat dadah jenis ganja," katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket yang beroperasi sejak Ogos lalu ini ialahmendapatkan bekalan dadah dari kawasan utara negara yang dihantar menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan kurier.

"Selain itu, mereka juga menjadikan rumah dan pangsapuri bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya.

Dalam kesemua serbuan itu, polis merampas 216kg ganja, 13.11 gram (g) ketamin dan 12g pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM542,674 serta merampas wang tunai berjumlah RM5,000 selain menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, hasil saringan urin mendapati enam suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.

"Hasil semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.