Benih tembikai, ubat psikotropik antara dirampas di KLIA

Iklan
AKPS KLIA gagalkan cubaan seludup benih tembikai bernilai RM141,000 dan 2,000 tablet ubat psikotropik Valium di KLIA. - Gambar hiasan

SEPANG – Cubaan membawa masuk benih tembikai dengan maklumat mengelirukan serta ubat-ubatan tidak berdaftar disyaki mengandungi bahan psikotropik berjaya digagalkan dalam siri penguatkuasaan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA memaklumkan bahawa rampasan pertama melibatkan satu konsainan benih tembikai bernilai lebih RM141,000 yang dikesan dalam pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas (Free Commercial Zone, FCZ), KLIA Kargo.

Iklan
Iklan

“Pemeriksaan ke atas konsainan tersebut dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari. Hasil pemeriksaan mendapati konsainan itu mengandungi komoditi produk pertanian, iaitu benih tembikai, namun butiran pengimportan tidak selaras dengan maklumat yang dikemukakan dalam Permit Import MAQIS,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, Jumaat.

Tambah kenyataan itu, konsainan berkenaan dipercayai diimport dari Taiwan oleh sebuah syarikat tempatan.

Iklan

“Rampasan melibatkan sebanyak 49.50 kilogram benih tembikai dengan nilai anggaran keseluruhan RM141,143.15,” katanya.

Kesemua barangan tersebut telah dirampas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan, AKPS KLIA turut merampas satu bungkusan mengandungi ubat-ubatan tidak berdaftar yang disyaki mengandungi bahan psikotropik dalam satu pemeriksaan berasingan di KLIA Kargo, pada hari sama.

Pemeriksaan ke atas bungkusan berkenaan dilakukan sekitar jam 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan terperinci mendapati bungkusan itu mengandungi 2,000 biji tablet Diazepam 10 miligram (jenama Valium) yang disyaki bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas kenyataan tersebut.

Menurut AKPS, ubat-ubatan tersebut turut disyaki mengandungi bahan psikotropik yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga, Akta Racun 1952.

Nilai keseluruhan rampasan ubat-ubatan berkenaan dianggarkan berjumlah RM10,000. Semua ubat-ubatan itu telah dirampas untuk siasatan lanjut.