Isu Mossad: UMNO gesa KDN beri penjelasan

Iklan
Mohamed Khaled

SHAH ALAM - UMNO meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan lengkap berhubung dakwaan pelaksanaan operasi oleh ejen perisikan Israel, Mossad di negara baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut amatlah penting kerana isu ini bukan sahaja menyentuh soal keselamatan negara, tetapi turut melibatkan kedaulatan dan maruah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan Malaysia yang kini menjadi medan operasi pengintipan Israel merupakan satu isyarat awal bahawa kerajaan tidak boleh membiarkan negara ini menjadi sasaran mana-mana perisikan lain.

"Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, apatah lagi oleh rejim haram seperti Israel yang tidak pun diiktiraf oleh negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dipercayai ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Iklan

Seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018 dan disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di dalam negara.

Sementara itu, Mohamed Khalid turut menggesa kerajaan untuk mempersiap siaga dalam menghadapi taktik dan strategi pengintipan Mossad di negara ini.

"Kita mesti membentuk pasukan khas dengan segera untuk meneliti dan mendalami taktik serta strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan mesti menyiasat saluran yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara.

"Adalah kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta 'entry window' yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara kita.

"Penglibatan ramai warga tempatan yang tidak bertanggungjawab dalam sindiket ini menuntut kita untuk memberikan mereka hukuman yang tegas dan keras,” kata beliau.