Neurons Asia, UTAR jalin kerjasama kaji kepelbagaian neuro

Iklan
Neurons Asia perkukuh jalinan kerjasama dengan UTAR melalui penyelidikan terhadap kepelbagaian neuro dalam kalangan pelajar universiti dan golongan dewasa bekerja di Malaysia.

KUALA LUMPUR - Neurons Asia Sdn Bhd memeterai kerjasama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi menjalankan penyelidikan mengenai kepelbagaian neuro dalam kalangan pelajar universiti dan golongan dewasa bekerja di Malaysia.

Kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyediakan rangka kerja penyelidikan selama tiga tahun bagi mendalami perbezaan kognitif dan pengalaman individu neurodivergen dalam sektor pendidikan serta pekerjaan.

Iklan
Iklan

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Neurons Asia, Shahirah Abdol Raman berkata, pihaknya menganggarkan satu daripada lima individu adalah neurodivergen, namun perbezaan cara berfikir dan bekerja masih kurang diiktiraf di kebanyakan tempat kerja.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan keperluan dan potensi individu neurodivergen sukar difahami, sekali gus menyukarkan usaha menyediakan sokongan bersesuaian.

Iklan

"Jika kita mahu membina pendekatan yang berkesan di sini, kita juga perlu memahami pengalaman golongan yang berada dalam institusi pendidikan, tempat kerja dan konteks budaya kita sendiri.

"Bekerjasama dengan UTAR memberi kita peluang untuk merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan pengalaman sebenar di tempat kerja," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menerusi kerjasama itu, Shahirah memaklumkan, UTAR akan menerajui aktiviti penyelidikan akademik termasuk reka bentuk kajian, tadbir urus penyelidikan, analisis, tafsiran dan penghasilan ilmiah.

Tambahnya lagi, Neurons Asia pula akan menyumbang kepakaran dalam bidang kepelbagaian neuro, fungsi eksekutif, perspektif industri dan penglibatan pihak berkepentingan bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan berkenaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTAR, Profesor Datuk Dr Ewe Hong Tat berkata, kerjasama tersebut akan membantu memperdalam kefahaman tentang kepelbagaian neuro dalam konteks Malaysia.

"Pemahaman terhadap kepelbagaian neuro adalah asas penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran dan tempat kerja yang lebih inklusif, di mana individu yang mempunyai kekuatan serta keperluan kognitif berbeza disokong sepenuhnya untuk mencapai potensi maksimum mereka.

"Menerusi kolaborasi bersama Neurons Asia ini, UTAR berhasrat mengukuhkan pangkalan bukti tempatan mengenai kepelbagaian neuro dengan menggabungkan penyelidikan akademik dan pengalaman industri bagi meraih pandangan yang lebih mendalam tentang keperluan serta pengalaman individu neurodivergen.

"Kami berharap kerjasama ini menyumbang kepada pembangunan kaedah praktikal berasaskan bukti yang relevan dan responsif terhadap landskap negara," katanya.