'Syukur Najib pulang ke rumah, terima kasih rakyat Malaysia' - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

ALOR GAJAH - Keputusan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah disambut baik pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mewakili pimpinan UMNO, BN serta seluruh ahli parti itu menzahirkan rasa syukur selain berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang turut menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kutipan dana menerusi kaedah pendanaan awam (crowdfunding) itu berjaya mencapai RM50 juta bagi memenuhi syarat denda yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.

"Kami juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan yang telah memutuskan supaya Datuk Seri Najib menjalani baki hukumannya di rumah.

Iklan

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan UMNO di semua peringkat, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang menyumbangkan dana sehingga kutipan crowdfunding mencukupi RM50 juta.

"Ini merupakan rasa syukur yang amat besar daripada kami dan terima kasih kepada semua pihak yang turut mendoakan supaya Datuk Seri Najib dapat berada di rumah bersama keluarga mulai hari ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terbaharu membabitkan Najib pada Selasa.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuku Risda Melaka di UCAM pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib jalani penjara di rumah serta-merta hari ini - Hakim Mahkamah Tinggi

Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib

Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib - Veteran UMNO

Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong

UMNO, Pas Machang lapor polis isu pengampunan Najib

Keputusan pengampunan mesti dilaksana ikut undang-undang – Ka Siong

BN gesa laksana titah perintah Agong segera

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap perkembangan berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya pengamal undang-undang dan mereka yang bertanggungjawab dalam aspek perundangan supaya sentiasa menghormati titah serta kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah prinsip tertinggi yang perlu dipatuhi.

"Mudah-mudahan kita tutup buku dan tiada lagi polemik selepas ini.

"Kita berdoa agar Najib tenang berada di rumah bersama keluarga dan semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan beliau," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Najib akan dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada Selasa bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.