Parti mana 'bungkus'?

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

DESAS-desus Parlimen bakal bubar dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksana memberi ‘signal’ kepada semua parti agar siap sedia menghadapi pilihan raya yang menyaksikan pertembungan paling sengit.

Pilihan raya kali ini akan memperlihatkan persaingan sengit antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) ekoran masing-masing pernah memiliki rekod pemerintahan.

Iklan
Iklan

Rakyat juga pasti mahu mengetahui, parti manakah yang masih kekal relevan dalam mendepani pelbagai cabaran dan isu berbangkit atau sebaliknya ‘bungkus’ pada PRU15.

Jika diperhatikan, adakah populariti BN kian merudum setelah dikaitkan dengan skandal rasuah ataupun kembali mendapat kepercayaan rakyat selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Iklan

Bagaimana pula dengan PH, setelah Rafizi Ramli kembali aktif, memberi ‘nafas’ baharu kepada pimpinan parti dan kini memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Adakah beliau mampu memberi pilihan kepada rakyat dalam membuat keputusan meskipun PH hanya mentadbir kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

Iklan

Sebelum itu, Rafizi pernah memberitahu, keputusannya untuk kembali ke politik adalah atas dasar mahukan rakyat diberi pilihan pada pilihan raya.

"Saya mahu keadaan di mana rakyat ada pilihan, sama juga kalau orang nak minum Coke atau Pepsi, masing-masing boleh pilih. Kita mahukan keadaan yang ada timbang tara, kalau parti ini tidak bagus, boleh diganti dengan parti lain. Sejak muda pun, itulah matlamat politik saya, supaya ada gabungan alternatif,” ungkapnya.

Bagi rekod PN pula, tempoh singkat dalam pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri dari Mac 2020 sehingga bulan Ogos 2021 bakal jadi pengukur buat pengundi untuk timbang tara.

Bukan itu sahaja, kemelut PN berpanjangan apabila parti Pas pula akan memuktamad hala tuju sama ada mengekalkan kerjasama dengan PN atau masih ada persefahaman dengan UMNO.

Sekiranya Pas memilih UMNO dalam meneruskan kerjasama politik menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN), PN pasti ‘tempang’ menjelang PRU15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan berikutan tidak mahu PN yang diasaskan bersama Pas dilihat sebagai tidak kukuh dan perlu mempunyai pendirian yang senada.

"Kita mesti ambil satu pendirian yang sama dalam semua perkara supaya tidak ada pertembungan kepentingan," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam soal kerjasama politik, UMNO sudah menyatakan pendirian enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menyentuh soal kerjasama politik Pas dan UMNO, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi tiga syarat kepada Pas.

Beliau tidak menyatakan syarat-syarat tersebut namun Pas mengetahuinya serta perlu memenuhi syarat-syarat itu dan barulah rundingan boleh dilakukan.

Katanya, permuafakatan antara UMNO dan Pas untuk menghadapi PRU15 akan 'kekal di takuk lama' jika tiada keputusan rasmi daripada Pas.

Sementara itu, penganalisis politik, Mohammad Agus Yusoff beranggapan tindakan UMNO ‘menjemput’ Pas untuk bersama mereka dilihat tidak wajar kerana Pas kurang disenangi ramai.

Bukan itu sahaja, meskipun UMNO ‘berkahwin’ semula dengan Pas, tiada jaminan UMNO akan menang besar jika PRU15 tetap diadakan pada tahun ini.

UMNO ketika ini masih percaya dengan teori bahawa mereka mempunyai kelebihan jika PRU15 diadakan segera, berdasarkan kemenangan di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu di PRN Melaka dan PRN Johor.

Begitupun, hakikat sebenarnya rakyat khususnya pengundi di atas pagar sedang memberi reaksi terhadap isu-isu semasa termasuk rasuah dan keadaan ekonomi, yang kemungkinan besar menjejaskan kemenangan UMNO.

PH pula ‘menyajikan’ manifesto yang dirasakan mereka mampu meraih sokongan rakyat dan boleh laksanakannya jika memenangi PRU15.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, antara diberi penekanan dalam manifesto adalah tentang aspek kebajikan rakyat dan perkara yang perlu diperbetulkan di dalam institusi seperti Parlimen.

Berkemungkinan, PH mempunyai peluang untuk menang majoriti pada PRU15 ataupun sebaliknya.

Walau apa pun teori atau janji-janji manis dalam manifesto parti, segala keputusan bakal terjawab pada PRU15 sama ada BN, PH, PN menang atau ‘tumbang’. Buat pengundi, tepuk dada tanya selera!

* Syairah Abdul Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial