Pulau Pinang catat 595 kes demam denggi

Iklan
Masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dengan melaksanakan tindakan termasuk membersihkan kawasan persekitaran. Foto 123RF

GEORGETOWN - Sebanyak 595 kes demam denggi dilaporkan sehingga 24 September lalu dengan peningkatan sebanyak 93.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, jumlah kes pada tahun ini lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan sebanyak 26.2 peratus pada tahun 2020 (806 kes) dan penurunan sebanyak 83.4 peratus (3,574 kes) pada tahun 2019.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ma'arof Sudim berkata, kejadian wabak denggi yang dilaporkan sehingga 24 September lalu adalah sebanyak 42 wabak, berbanding dengan 7 wabak pada tempoh yang sama pada tahun 2021.

Menurutnya, daripada 42 wabak denggi yang dilaporkan, 33 wabak telah tamat manakala sembilan lagi wabak masih aktif.

Iklan

"Aktiviti kawalan dan pencegahan telah dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan, dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.

Iklan

Di samping itu, Dr Ma'arof berkata, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh Pulau Pinang.

Jelasnya, sehingga 24 September, sejumlah 312,711 premis telah diperiksa dan 445 kompaun dengan nilai RM 222,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes.

Beliau berkata, kompaun dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154].

"Bagi memastikan penyakit demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri Pulau Pinang, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dengan melaksanakan tindakan termasuk membersihkan kawasan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

"Orang ramai digalakkan menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah, elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah,"katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko wabak denggi.