Siasat segera individu bersubahat curi hasil laut

Iklan
Maritim Malaysia menahan bot, pukat dan nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati bersubahat dengan warga asing untuk mencuri hasil laut negara demi keuntungan peribadi.

Setiausaha Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, aktiviti mencuri hasil laut negara bukan sahaja merampas rezeki dan pendapatan nelayan rakyat Malaysia, bahkan turut mengancam aspek sekuriti makanan negara.

Iklan
Iklan

"Saya ingin merujuk kepada pendedahan akhbar Sinar Harian bertarikh 3 Ogos 2022, bertajuk Nelayan Asing Semakin Berani yang melaporkan kegiatan haram warga asing mencuri hasil laut di perairan negara dengan bersubahat dengan rakyat Malaysia yang mementingkan diri sendiri.

"Justeru, saya ingin mendesak pihak kerajaan untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia baik nelayan tempatan atau penguat kuasa yang didapati bersalah dan mengkhianati negara kerana bersubahat dengan warga asing untuk mencuri hasil laut kita demi keuntungan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera mengambil tindakan tersebut bagi membuktikan beliau bukan sahaja berani berjihad memerangi ‘orang tengah’, tetapi juga pengkhianat negara yang bersubahat dengan warga asing.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan nelayan asing kini semakin berani apabila mereka menggunakan taktik ala gerila untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.

Iklan

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya pernah menumpaskan satu sindiket yang mempunyai kelengkapan alatan komunikasi di darat dengan menyewa sebuah rumah di kawasan kampung terpencil terletak di Pahang.

Katanya, rumah yang dilengkapi alatan komunikasi itu akan menyalurkan maklumat kepada nelayan-nelayan asing yang mahu memasuki perairan negara, bertujuan untuk mencuri hasil laut dengan menyampaikan maklumat kehadiran agensi penguat kuasa.