[VIDEO] Semua ahli Parlimen kerajaan sokong RUU Anti Lompat Parti

Iklan
Wan Junaidi pada sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kesemua ahli Parlimen kerajaan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang bakal dibentangkan dan dibahaskan selama dua hari bermula Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persetujuan itu dicapai sebaik selesai sesi libat urus bersama kumpulan berkenaan di Parlimen pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Memang tidak ada (penolakan oleh ahli Parlimen kerajaan) kerana semua orang menunggu RUU ini.

"Sesi libat urus bersama ahli Parlimen pembangkang pula akan dibuat esok,” katanya di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, dalam sesi libat urus itu juga terdapat permintaan yang dibuat ahli Parlimen kerajaan antaranya meminta supaya mereka diberikan ruang sebanyak mungkin untuk berbahas mengenai RUU itu.

Justeru katanya, permintaan itu akan dibincangkan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meneliti permintaan berkenaan.

Iklan

Selain itu katanya, terdapat juga permintaan supaya Senator turut dimasukkan dalam RUU itu, namun Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan undang-undang anti lompat parti berpandangan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada masa ini.

"Satu lagi pertanyaan yang dibangkitkan adalah mereka berkehendak supaya Senator turut dibenarkan masuk (dalam RUU) tetapi kita jawatankuasa membuat keputusan selepas berbincang beberapa kali dan memutuskan biarlah kita tumpukan kepada ahli Dewan Rakyat.

"Kalau ada keperluan pada masa akan datang kerajaan akan buat keputusan sama ada Senator akan turut termasuk, contohnya Senator yang dilantik oleh parti-parti yang bertanding di peringkat negeri dan memang kita fikirkan juga perkara itu,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Wan Junaidi memaklumkan kabinet meluluskan draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau berkata, pembentangan dan perbahasan RUU itu akan diteruskan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mengikut garis masa seperti dirancang.