Pembeli pangsapuri terima kunci bulan depan

Iklan
Pangsapuri Taman Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu akan disiapkan segera dan pembeli menerima kunci awal bulan depan secara berperingkat.

JOHOR BAHRU - Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini yang terbengkalai lebih 10 tahun akan diserahkan kepada pembeli secara berperingkat mulai bulan depan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, buat permulaan seramai 432 pembeli melibatkan fasa dua iaitu blok A, B dan C dijangka menerima kunci bulan depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SPNB memaklumkan fasa dua projek itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lepas, namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Sementara fasa tiga iaitu blok D dan E, seramai 215 pembeli dijangka menerima kunci pada Disember tahun ini.

Iklan

"Fasa satu projek berkenaan yang melibatkan blok F pula sudah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pembeli pangsapuri itu mengadakan sidang akhbar terbaharu menyatakan rasa kecewa, berputus asa dan tidak lagi mengharapkan kerajaan menyelesaikan isu tersebut dan akan membawa masalah berkenaan kepada Sultan Johor.

Iklan

Projek itu yang dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mula dibina pada 2010 dan dijadual siap pada Mei 2013, mempunyai keluasan 8.5 hektar dengan 972 unit pangsapuri meliputi enam blok yang dijual dengan harga antara RM50,000 dan RM250,000 sebuah.

Beberapa sidang akhbar pernah diadakan pembeli antaranya pada 2017, 2019 dan 2021 bagi mendesak pihak SPNB serta pemaju menyiapkan rumah tersebut tetapi masih lagi tidak siap.

Projek itu sudah tiga kali bertukar pemaju bermula dengan SPNB sebelum dijual kepada syarikat pemaju swasta, Cosmic Master Development Sdn Bhd pada 2015 dan kini bertukar tangan kepada subkontraktor syarikat Hong Xin.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, pihak SPNB sudah menemui pembeli dan memaklumkan status terkini serahan kunci.

Menurut beliau, isu berkenaan sudah juga dimaklumkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan termasuk di Pejabat Menteri Besar Johor supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan seberapa segera.

"Di peringkat urusan rumah, SPNB akan proses seperti biasa dan pihak SPNB komited untuk menyelesaikan masalah ini," katanya sambil memberitahu semua unit kediaman melibatkan enam blok itu masih belum dijual sepenuhnya.

Katanya, bagi blok A sebanyak 170 dari 190 unit sudah terjual; blok B (144 terjual daripada 170 unit); blok C (118 daripada 190 unit); blok D (108 terjual daripada 120 unit); blok E (107 terjual daripada 120 unit) dan blok F (120 terjual daripada 168 unit).