'Islam tak pernah putuskan hubungan saya dengan emak' - Ridhuan Lau

Iklan
Ridhuan (duduk tengah dua dari kanan) bersama ibu (tiga dari kiri) serta ahli keluarga lain berkumpul menyambut Tahun Baharu Cina

PORT DICKSON - Biarpun sudah 25 tahun menganut agama Islam, Muhammad Ridhuan Lau Abdullah tidak pernah lupa untuk pulang ke rumah ibunya di Port Dickson bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

Malah, ia diraikan dalam suasana meriah seperti mana dia menyambut Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Peniaga restoran makanan Cina Muslim berusia 46 tahun itu berkata, anak-anaknya paling teruja kerana dapat menyambut dua perayaan setiap tahun.

“Sejak memilih agama Islam pada 2001, saya tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga, malah turut membuat persiapan membeli pakaian baharu berwarna merah yang sinonim dengan perayaan ini.

Iklan

“Biasanya pada pagi Tahun Baharu Cina, kami enam beradik akan berkumpul di rumah emak dan makan bersama-sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, emaknya yang kini berusia 77 tahun sangat memahami gaya hidupnya sebagai seorang Muslim dan akan menyediakan makanan halal khas untuknya sekeluarga.

Iklan

Malah, dia tidak pernah berasa terpinggir dalam keluarga dan terus mengamalkan tradisi serta budaya kaum Cina selagi tidak melanggar hukum syarak.

“Kali ini emak saya masak menu khas untuk kami sekeluarga iaitu ikan masam manis, sayur campur dan ayam masak kicap.

“Saya memang tidak perlu risau soal makanan apabila datang beraya di rumah emak kerana dia memang menjaganya,” katanya.

Ujarnya, apa yang penting dia mahu menunjukkan kepada ibunya bahawa agama Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan.

“Masa mula-mula saya memeluk Islam, emak risau sekiranya saya terus meninggalkannya, tetapi saya telah buktikan kepada emak bahawa perkara itu tidak berlaku.

“Malah, rasanya hubungan saya dengan emak lebih baik dan memandangkan saya hanya tinggal di Seremban, saya selalu datang menjenguknya di Port Dickson,” katanya.

Kata Ridhuan lagi, hubungannya dengan saudara-mara juga baik, malah dia turut mengambil peluang menziarahi mereka pada Tahun Baharu Cina.

Selain itu, ujarnya, pada tahun 2004, dia bertemu jodoh dengan isterinya yang juga seorang mualaf dan kini dikurniakan enam cahaya mata berusia antara enam hingga 21 tahun.