Perbalahan rakaat tarawih perlu dihentikan, utamakan persaudaraan - Mufti

Iklan
Umat Islam seharusnya menumpukan perhatian kepada kualiti ibadah sepanjang Ramadan berbanding mempertikaikan isu yang boleh menjejaskan persaudaraan. - Gambar kecil (Mohd Sukki)

GEORGE TOWN – Perbalahan mengenai bilangan rakaat solat sunat tarawih tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan umat Islam kerana ia termasuk dalam perkara khilafiah yang telah lama dibincangkan oleh ulama.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, umat Islam seharusnya menumpukan perhatian kepada kualiti ibadah sepanjang Ramadan berbanding mempertikaikan isu yang boleh menjejaskan persaudaraan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali Ramadan tiba, umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah dan ketaatan kepada ALLAH SWT, namun apa yang menyedihkan ialah berlakunya pertelingkahan berhubung amalan sunat seperti bilangan rakaat solat tarawih.

“Perbalahan dalam perkara khilaf seperti bilangan rakaat solat tarawih sehingga menyebabkan bermasam muka dan tidak bertegur sapa adalah sesuatu yang tidak wajar.

Iklan

“Persaudaraan Islam jauh lebih utama berbanding mempertikaikan amalan sunat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat juga segelintir masyarakat yang begitu bersemangat menunaikan solat tarawih di masjid dan surau namun pada masa yang sama mengabaikan solat fardu seperti Maghrib dan Subuh.

Iklan

“Masyarakat perlu membezakan antara perkara sunat dan fardu. Mengutamakan amalan sunat tetapi meninggalkan yang wajib ialah satu kekeliruan dalam memahami keutamaan ibadah,” jelasnya.

Tambah Mohd Sukki, ada pihak yang gemar membesar-besarkan isu khilaf sehingga mencetuskan pergeseran dalam kalangan jemaah sedangkan mereka sendiri tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah.

“Solat tarawih merupakan solat sunat muakkad yang tidak berdosa jika ditinggalkan, namun mewujudkan perbalahan sehingga memecahbelahkan umat Islam adalah perbuatan yang dilarang.

“Solat tarawih bermula selepas solat fardu Isyak dan sunat ba’diah Isyak serta boleh ditunaikan sehingga terbit fajar. Ia disyariatkan dilakukan secara dua rakaat satu salam,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah rakaat, beliau berkata, tiada dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan Rasulullah SAW kerana terdapat pelbagai riwayat mengenainya.

“Terdapat pandangan yang menyatakan solat tarawih hanya lapan rakaat bersandarkan hadis riwayat Muhammad al-Bukhari mengenai amalan Rasulullah SAW yang menunaikan solat malam sebanyak 11 rakaat termasuk witir.

“Namun, hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar menunjukkan solat malam tidak dihadkan kepada bilangan tertentu, sebaliknya dilakukan dua rakaat, dua rakaat dan diakhiri dengan witir.

“Menurut jumhur ulama daripada mazhab Syafie dan Hanafi serta pandangan yang rajih dalam mazhab Hanbali, bilangan solat tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan amalan sahabat pada zaman pemerintahan Umar ibn al-Khattab,” ujarnya.

Selain itu, katanya, terdapat riwayat ulama salaf yang menunaikan solat tarawih dengan pelbagai bilangan rakaat, antaranya 46, 41, 39, 36, 34, 24, 16 dan 13 rakaat.

“Sehubungan itu, tokoh ulama seperti Ibn Uthaymin menegaskan bahawa isu bilangan rakaat tarawih adalah luas dan tidak wajar diingkari sama ada dilakukan 11 atau 23 rakaat.

“Pandangan sama turut disokong Ibn Taymiyyah yang menyatakan solat tarawih boleh dilakukan dengan pelbagai bilangan rakaat mengikut mazhab sama ada 11, 13, 20 atau 37 rakaat bergantung kepada panjang atau pendeknya qiam,” jelasnya.

Mohd Sukki menambah, ulama lain seperti Ibn Qudamah dan al-Nawawi turut menyatakan bahawa 20 rakaat merupakan amalan yang diterima luas dalam mazhab Syafie di samping boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah.

“Sementara itu, al-Suyuti menjelaskan bahawa hadis sahih berkaitan qiyam Ramadan tidak mengkhususkan bilangan rakaat tertentu, sebaliknya memberi kelonggaran kepada umat Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam perkara furu’ tidak seharusnya membawa kepada perpecahan.

“Apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan kualiti ibadah. Ramadan ialah peluang besar untuk merebut ganjaran pahala, bukan medan untuk bertelingkah dalam perkara khilaf,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar menjauhi pertelingkahan yang tidak membawa manfaat, sebaliknya memperkukuh perpaduan dan menumpukan kepada ibadah sepanjang bulan Ramadan.