Sistem amaran aliran puing dipasang di Gunung Jerai

Iklan
Menara sistem amaran awal aliran puing yang dikenali sebagai EWS berteknologi Jepun dipasang di Titi Hayun, Gunung Jerai beroperasi sejak Februari lalu.

YAN - Sistem amaran awal bagi mengesan bencana geologi khususnya aliran puing telah dipasang di kawasan Gunung Jerai Februari lalu untuk memberi amaran awal sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan tersebut.

Ketua Pengarah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Hisamuddin Termidi berkata, teknologi yang dibawa dari Jepun itu merupakan yang pertama dalam negara dan akan diperluaskan ke lokasi berisiko lain sekiranya projek rintis berkenaan didapati berkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem amaran awal aliran puing yang dikenali sebagai EWS ini diadaptasi dan disesuaikan mengikut kedudukan lokaliti setempat untuk beroperasi.

"JMG dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memasang dan menyiapkan sistem amaran awal aliran puing di Titi Hayun, Gunung Jerai dan telah pun diaktifkan serta beroperasi.

Iklan

"Sekiranya projek rintis EWS ini berjaya, kita akan pasang di tempat-tempat lain yang bersesuaian. Saya percaya ia memang diharapkan oleh penduduk setempat kerana sejak kebelakangan ini berlaku beberapa kejadian tanah runtuh dalam negara yang kemungkinan besar turut membawa aliran puing,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) Jerai Geopark di Titi Hayun pada Sabtu.

Hisamuddin berkata, teknologi EWS banyak diguna pakai di Jepun yang menggabungkan pengesan deria getaran dan wayar bagi membolehkan amaran bencana aliran puing dikesan lebih awal.

Iklan

"EWS mempunyai beberapa komponen, antaranya penggunaan deria wayar yang akan mengesan aliran puing pada tahap-tahap tertentu, apabila mengenai wayar tersebut sistem amaran awal diaktifkan dan mengeluarkan bunyi siren yang boleh didengari penduduk sekitar.

"Jadi mereka boleh persiapkan diri untuk buat tindakan evakuasi atau mengosongkan tempat tersebut dan pergi ke tempat lebih selamat,” jelasnya.

Menurutnya, pengendalian sistem EWS telah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Yan kerana ia akan diserahkan kepada komuniti untuk menguruskannya selepas diberikan taklimat kaedah penggunaannya.

Beliau berkata, JMG juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam menyelaras sistem amaran awam untuk kepentingan masyarakat setempat.

Hisamuddin (kiri) ketika meninjau kawasan bencana aliran puing di Titi Hayun, Yan yang terjejas teruk susulan kejadian kepala air pada 18 Ogos tahun lalu.

"Antara perkara yang sedang diperhalusi untuk koordinasi sekiranya berlaku amaran awal, contohnya macam mana kita mahu satukan kepada amaran awam. Bermakna bukan sahaja penduduk sekitar tahu berlakunya bencana tetapi merangkumi penduduk yang tinggal agak jauh. Sebab kita tak pasti kesan aliran puing sangat pantas, tak semestinya penduduk yang jauh tidak terkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hisamuddin berkata, pengurusan risiko bencana yang menyeluruh harus dilaksanakan di semua peringkat akar umbi dengan penglibatan komuniti setempat.

"Sehubungan itu, JMG mengenal pasti 30 jaguh tempatan untuk diberi latihan dan kepercayaan melaksanakan strategi pengurusan risiko bencana. Pengalaman daripada agensi tindak balas bencana dan peserta program kalangan komuniti akan dikumpul, direkod dan dianalisis manakala pemetaan laluan evakuasi turut dijalankan bersama komuniti,” katanya.

Beliau memaklumkan, program CBDRM dilengkapi latihan kepada pemberi maklumat serta pengajar komuniti berkaitan tindakan yang perlu dilaksanakan sekiranya berlaku bencana geologi.

"Sudah tentu perkara pertama yang perlu diambil tindakan adalah menyelamatkan diri mengikut pelan yang ditetapkan. Jaguh tempatan ini akan membantu dan mengetuai kerja-kerja menyelamatkan penduduk dan memberitahu mangsa apakah yang wajar dilakukan ketika bencana,” ujarnya.

Mengulas sama ada Gunung Jerai kini selamat untuk dikunjungi orang ramai susulan kejadian aliran puing di daerah Yan dan Kuala Muda pada 18 Ogos tahun lalu, Hisamuddin tegaskan, berdasarkan hasil kajian pihaknya mendapati kawasan rekreasi berkenaan sudah boleh dibuka semula.

"Kawasan ini diselia bawah Majlis Daerah Yan, terpulang kepada mereka bagi menentukan bila tarikh sesuai untuk dibuka kepada orang ramai atau untuk rancakan semula aktiviti pelancongan di situ.

"Kita sekadar beri nasihat dan hasil kajian sebagai panduan. Saya percaya dengan adanya sistem amaran EWS dan program CBDRM, keyakinan penduduk setempat dan pelancong akan lebih baik untuk menghidupkan semula industri pelancongan di sini,” katanya.

Hisamuddin berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengesan sebarang unsur atau punca-punca yang boleh menyebabkan berlaku ketidakstabilan cerun mahupun tanah di kawasan Gunung Jerai.

"Bila kejadian bencana geologi berlaku, ia berpunca daripada keadaan yang tidak stabil. Selepas berlaku kejadian, ia kembali stabil kecuali ada unsur-unsur lain seperti hujan berterusan yang mengganggu kestabilan itu. Namun komuniti setempat perlu waspada terutama ketika hujan berterusan sebab keadaan cuaca di luar jangkaan,” katanya.