Kastam Kelantan rampas 2,478 botol, 96 tin arak

Iklan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan merampas 2,478 botol dan 96 tin minuman arak pelbagai jenama disyaki diseludup masuk dari Thailand. - Foto ihsan JKDM Kelantan

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 2,478 botol dan 96 tin minuman arak pelbagai jenama disyaki diseludup masuk dari Thailand yang disembunyikan dalam sebuah gudang di Kampung Gual Pasung Hantu dekat Rantau Panjang pada 7 Disember lalu.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, turut dirampas sebuah motorlori, pakaian dan pelbagai barangan runcit dengan nilai rampasan sebanyak RM100,920 dan anggaran cukai RM50,469.24.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan Rantau Panjang mengesan sebuah motorlori jenis Hicom bernombor pendaftaran tempatan bersama dengan seorang pemandu warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

"Bagaimanapun, pemandu motorlori warganegara tempatan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000.00 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, modus operandi digunakan adalah membawa masuk barang-barang tanpa diikrar melalui pintu masuk negara ICQS Rantau Panjang tanpa berhenti di tempat pemeriksaan kastam.

"Mereka menggunakan khidmat tonto bagi memerhatikan setiap gerak geri pegawai bertugas di pintu masuk ICQS Rantau Panjang serta kehadiran pihak berkuasa di pintu masuk negara.

Iklan

"Sindiket penyeludupan ini akan membawa masuk barang-barang tersebut pada waktu puncak lalu menyembunyikannya di suatu gudang transit dan pergerakan barang yang belum lulus kastam itu akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk diedarkan dalam pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, minuman keras diklasifikasi sebagai barang larangan import tertakluk di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga / Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 manakala barang-barang makanan yang dibawa diklasifikasi sebagai barang larangan import tertakluk di bawah Butiran 35, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana pengimportannya memerlukan permit dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan. - Bernama