Ramadan kembali meriah!

Iklan
Orang ramai dilihat sudah mula membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan yang bakal tiba ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada Sabtu. Buah tamar dijual sebagai persediaan menyambut Ramadan ketika tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Sabtu.

SHAH ALAM - Ramadan tahun ini akan kembali meriah apabila kerajaan membenarkan aktiviti perniagaan bazar Ramadan dan umat Islam dapat menunaikan solat tarawih di masjid serta surau.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sebanyak 47 bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa akan dibuka di seluruh Kuala Lumpur kali ini.

Iklan
Iklan

"Ia melibatkan penyertaan seramai 2,233 peniaga yang berdaftar pada tahun lalu lagi sebagaimana keputusan dipersetujui dalam mesyuarat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini."Bagaimanapun, jumlah bazar yang menjual barangan kering belum dapat dipastikan kerana ia masih dalam proses kelulusan,” katanya kepada Sinar Ahad di sini pada Sabtu.

Rosli yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia memberitahu, penglibatan peniaga dalam bazar Ramadan di Kuala Lumpur sebelum pandemik Covid-19 menyerang negara dianggarkan seramai 5,000 orang.

Iklan
Rosli Sulaiman

"Kapasiti peniaga kali ini berdasarkan norma baharu kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, meskipun jumlah peniaga berkurangan tetapi pembukaan semula bazar Ramadan selepas dua tahun amat melegakan peniaga.

Iklan

"Sejak bazar Ramadan tiada, peniaga terpaksa lalui fasa sukar untuk meniaga.

"Jadi dengan kebenaran untuk berniaga yang diberikan kerajaan tahun ini sepatutnya mendorong peniaga untuk sentiasa pastikan pembeli mereka patuh SOP yang ditetapkan.

"Pastikan semasa berjalan juga ada penjarakan fizikal dan jangan sampai terlanggar bahu orang lain. Pematuhan terhadap SOP dapat memastikan kita terhindar daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Kerja-kerja pemasangan khemah giat dijalankan di tapak Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada Sabtu.

Tarawih secara bergilir

Sementara itu, Pengerusi Bersama Masjid Kota Damansara merangkap Imam Masjid Asy-Syakirin Menara Berkembar Petronas (KLCC), Shahrizan Daud berkata, kebenaran diberikan kerajaan untuk solat tarawih di masjid dan surau disambut baik oleh pihak masjid.

"Kita bersyukur dan gembira kerana masjid dapat dibuka semula untuk solat tarawih kerana masjid sememangnya dibuka untuk diimarahkan.

"Dengan kebenaran ini, satu perkara yang perlu diutamakan adalah aspek pematuhan SOP,” katanya.

Shahrizan

Jelasnya, bagi memastikan SOP dipatuhi oleh jemaah, Masjid Kota Damansara akan terus mengguna pakai kaedah sistem penggiliran solat tarawih seperti yang diamalkan untuk solat Jumaat.

"Banyak masjid di Selangor gunakan sistem penggiliran ini.

"Melalui sistem ini, jemaah perlu mendaftar awal menerusi laman web atau platform dalam talian dan mereka akan mendapat pemberitahuan kemudiannya,” katanya.

Ujarnya, untuk solat tarawih di Masjid Kota Damansara, pendaftaran untuk malam pertama dibuka sejak Rabu lalu sebelum ditutup petang Jumaat.

"Kapasiti masjid ialah 4,000 orang tetapi dengan SOP ini, ia hanya boleh menampung separuh daripada kapasiti asal.

"Kita harap semua faham dan bertenang kerana kita sekarang terpaksa mengikut norma baharu. Peranan kita adalah pastikan SOP di masjid dipatuhi,” katanya.