Empat pelajar korban masa tiga bulan hasil prototaip e-beca

Iklan
Muhammad Abidin (duduk, dua dari kiri) serta rakan sepasukan merakam gambar bersama prototaip e-beca yang dihasilkan bagi pertandingan Anugerah Inovasi Beca Terengganu 2020 yang diadakan di PSKT di Kampung Laut, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Usaha empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini mengorbankan masa selama tiga bulan untuk mencipta beca elektronik (e-beca) membuahkan hasil setelah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Beca Terengganu 2020 pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan pasukan yang dianggotai Muhammad Abidin Azman, 16; Aidi Syamil Muhizulahfaz, 16; Muhammad Iddin Hafiz Mosli Hafiz,13; dan Wan Muhammad Izdihar Wan Ahmad Amli, 13, meraih geran pembangunan inovasi bernilai RM90,000.

Iklan
Iklan

Geran tersebut bakal dikongsi bersama pasukan Solar Power Electric Beca dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut diumumkan sebagai pemenang bagi kategori sama.

Wakil pasukan, Muhammad Abidin Azman berkata, prototaip e-beca yang dihasilkan itu menelan belanja sebanyak RM1,809.

Iklan

Katanya, e-beca yang mengetengahkan konsep flora dan fauna itu menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya selain mampu memuatkan seramai empat penumpang.

Katanya, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, e-beca dihasilkan turut dilengkapi alat pemeriksaan suhu dan peralatan sanitasi.

Iklan

"Kami perlu memikirkan konsep beca yang lebih mesra penumpang namun dalam masa yang sama tidak meminggirkan SOP yang perlu dipatuhi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Selain itu, kami turut berdepan kekangan masa kerana proses pembuatan hanya boleh dibuat pada sebelah petang selepas kami semua habis waktu persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Atas Talian di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini, pada Ahad.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh dan Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Rosman Zamri.

Dalam pada itu, Muhammad Abidin berkata, geran bernilai RM45,000 itu akan dimanfaatkan untuk membesarkan lagi saiz e-beca serta menaik taraf bateri yang lebih berkuasa dan tahan lama.

Pertandingan Inovasi Beca Terengganu turut menyaksikan pasukan Beca Better (Beca Terengganu) dari UTeM memenangi geran pembangunan inovasi bernilai RM50,000.

Penganjuran pertandingan itu antara lain bertujuan memberi inovasi kepada alatan pengangkutan tradisional Terengganu itu supaya ia lebih selesa dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.