Terengganu proses padi sendiri sepenuhnya

Iklan
Dr Azman (tiga kiri) sewaktu mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, Terengganu hari ini.

MARANG - Masalah kesukaran untuk memproses padi dalam kalangan pesawah negeri ini sejak sekian lama akhirnya berjaya diatasi dengan pembukaan kilang padi milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu iaitu Konsortium Kilang Padi pada April lalu.

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kilang berteknologi moden di Baruh Masin, Jabi itu bernilai RM25 juta dan sudah beroperasi pada musim menuai April lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, selain kilang berkenaan, Terengganu turut mempunyai tiga lagi kilang memproses padi iaitu Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh; Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi dan Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang.

"Dengan kapasiti empat buah kilang yang ada, ia mencukupi untuk menampung pemprosesan pengeluaran beras Terengganu sekitar 60,000 metrik tan setahun. Pengeluaran beras sebanyak ini juga berjaya mencukupkan sekitar 53 peratus daripada SSL (kadar kecukupan sara diri) untuk keperluan 1.2 juta penduduk Terengganu.

Iklan

"Sebelum ini, sebahagian daripada padi-padi yang dikeluarkan dari kawasan sawah dan jelapang di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah sebab kita berhadapan dengan ketidakcukupan kilang. Bila Konsortium Kilang Padi beroperasi dan adanya tiga kilang lain, satu daripada keperluan utama dalam rantaian beras di Terengganu berjaya kita cukupkan.

"Ini bermakna kita sudah tak hantar ke Kedah untuk diproses kerana ia menyebabkan kenaikan kos seperti pengangkutan dan proses yang melecehkan. Jadi, tidak timbul lagi ada yang terpaksa menunggu di luar kilang untuk menunggu padi mereka diproses,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di sini, hari ini.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dr Azman berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengeluarkan beras dengan jenama MyGAP Terengganu menjelang April tahun depan yang dijamin daripada segi kualiti berdasarkan audit pensijilan yang ketat.

"Jawatankuasa khas untuk beras MyGAP Terengganu telah memutuskan Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin, Jabi akan dijadikan kilang untuk memproses beras MyGAP.

"Di Terengganu kita ada seluas 413 hektar kawasan padi yang telah mendapat pensijilan amalan pertanian baik Malaysia atau MyGAP. Namun, apa yang merugikan daripada 413 hektar ada yang tidak diproses dengan betul walaupun kita ada petani yang ada pensijilan MyGAP.

"Kita tidak ada jenama beras dengan kualiti myGAP. Ini menyebabkan kita fikir perlu untuk mewujudkan satu rantaian yang lengkap daripada petak sawah, sehingga ke mesin padi, pengangkutan, kilang proses, pembungkusan dan pemasaran. Rantaiannya perlu lengkap dan semuanya dalam perancangan kita,” katanya.