Terengganu Bike Week 2024 tarik 3,000 penyertaan

Iklan
Razali (dua dari kiri) ketika sidang akhbar mengenai Acara TBW 2024 di Hotel Paya Bunga, pada Isnin.

KUALA TERENGGANU - Terengganu Bike Week (TBW) 2024 bakal menarik penyertaan sebanyak 3,000 peminat dan pemilik motosikal berkuasa tinggi tempatan dan antarabangsa pada 28 hingga 30 Jun depan di Dataran Shahbandar, dekat sini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, acara berkenaan membantu usaha kerajaan negeri menarik kedatangan pengunjung ke Terengganu selain memberi limpahan penjanaan pendapatan kepada penggiat industri pelancongan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, acara TBW 2024 merupakan anjuran East Coast Motorcycle (ECMC) dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

"Peserta yang telah menyertai acara ini sejak 10 tahun lalu terdiri daripada pelbagai negara antaranya Singapura, Thailand dan Indonesia serta melibatkan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi dari seluruh Malaysia.

Iklan

"Usaha ini mampu memberi limpahan penjanaan pendapatan kepada pengusaha penginapan termasuk hotel, inap desa serta pengusaha gerai makanan selain membantu usaha kerajaan negeri mencapai sasaran sebanyak 3.5 juta kedatangan pelancong ke Terengganu," katanya.

Razali (dua dari kiri) menunjukkan jersi bagi acara tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Acara TBW 2024 di Hotel Paya Bunga di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Razali berkata, pelbagai program diadakan antaranya reruai jualan dan pameran, program sembang santai dan cabutan bertuah sepanjang acara itu berlangsung.

"Peserta juga berpeluang menerima cabutan bertuah menarik termasuk mendapat tiga buah motosikal berjenama serta pelbagai barangan permotoran.

"Lawatan konvoi peserta TBW turut diadakan di lokasi pelancongan menarik di sekitar Kuala Terengganu seperti Pasar Payang, Taman Tamadun Islam, Muzium, Kampung Budaya Terengganu, Jambatan Angkat dan sebagainya," jelasnya.

Dalam pada itu, Razali menasihatkan kepada semua peserta untuk mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang program itu diadakan.

Katanya, peserta konvoi motosikal diminta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!