Teroka industri hidrogen hijau jana pendapatan baharu - Sultan Mizan

Iklan
Sultan Mizan berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah hari ini. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri perlu meneroka industri hidrogen hijau sebagai sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, penjanaan pendapatan baharu berkenaan perlu diteroka dengan sebaiknya bagi menjamin kemakmuran dan perkembangan ekonomi negeri yang berterusan.

Iklan
Iklan

"Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran hidrogren hijau global bernilai sekurang-kurangnya RM824 bilion menjelang 2050.

"Inisiatif HETR ini perlu diambil peluang oleh kerajaan negeri bagi menjadikan Terengganu sebagai peneraju utama dalam sumber tenaga hijau," titah baginda.

Iklan

Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-62 di Istana Syarqiyyah di sini pada Ahad.

Justeru, Sultan Mizan bertitah segala tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui sumber tenaga boleh baharu perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan teknologi pengeluarannya yang cekap serta mampan.

Iklan

Baginda juga bertitah, kerajaan negeri agar menjalankan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut bagi mempercepatkan pembangunan industri hidrogen hijau.

"Untuk pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran hidrogen hijau maka kerajaan negeri haruslah membuat kerjasama ini.

"Dengan usaha yang betul, beta berkeyakinan kerajaan negeri mampu menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bagi membiayai pengeluaran hidrogen hijau.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri boleh menawarkan insentif seperti harga tanah industri yang berpatutan dan pasukan petugas khas bagi menarik peluang pelaburan dalam industri hidrogen hijau di Terengganu," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!