Pemandu e-hailing harus ikut peraturan mulai 12 Julai

Iklan
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan peraturan berkenaan e-hailing yang sudah digazetkan dan penguatkuasaan terhadap pemandu e-hailing tanpa lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) akan bermula pada 12 Julai tahun depan.

Setakat ini, katanya, permohonan lesen pengendalian e-hailing dibuka kepada syarikat e-hailing dan syarikat teksi yang mahu beralih ke teknologi itu, manakala pendaftaran pemandu bermula pada 1 Januari 2019.

"Dalam pertemuan dengan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail saya jelaskan apa sahaja keputusan kita. Saya peraturan e-hailing ini telah digazetkan dan pendaftaran untuk pemandu e-hailing akan bermula 1 Januari dan berakhir 12 Julai 2019.

"Jadi garis masa untuk mendaftarkan pemandu ini bermula Januari hingga Julai 2019, oleh itu, pemandu e-hailing ini perlu didaftarkan dan mereka perlu mendapatkan PSV dan mereka kena mengikuti kursus sebelum Julai 2019.

"Menjelang 12 Julai 2019 kita akan kuatkuasakan peraturan baharu iaitu semua pemandu e-hailing mesti ada pendaftaran dan lesen PSV, perlu ada insurans untuk kereta mereka dan kenderaan yang melebihi tiga tahun perlu buat pemeriksaan kenderaan..itu adalah peraturan-peraturan yg telah kita umumkan saja hanya jelaskan kepada beliau sahaja," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony menegaskan sekiranya pemandu-pemandu e-hailing tidak ada PSV dan tidak mematuhi peraturan itu maka penguatkuasaan itu berjalan.

Hal demikian, katanya, mereka yang melanggar akta pengangkutan awam darat, boleh disaman atau diambil tindakan.

"Saya juga memberitahu pemandu teksi bahawa kerajaan menggalakkan mereka berhijrah menggunakan aplikasi e-hailing ini.

"Kerana untuk pemandu teksi, mereka ada kelebihan kerana mereka boleh membuat dua sekali iaitu e-hailing dan streethailing. Maksudnya kalau streethailing mereka boleh membawa penumpang daripada perhentian-perhentian teksi dan untuk e-hailing melalui talian, mereka ada dua punca pelanggan yg mereka boleh dapat.

"Oleh itu pemandu teksi tiada alasan mengapa mereka nak menolak e-hailing ini akan memberikan kelebihan kepada mereka kalau mereka mengaplikasikan e-hailing ini.Kita terbuka kepada mana-mana syarikat bukan hendak hanya satu syarikat untuk monopoli perkhidmatan e-hailing ini.

"Kalau ada lebih banyak pemain dalam pasaran maka ini akan memberikan persaingan yang sihat dan juga memberikan kelebihan dan manfaat kepada pengguna," jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan ini tiada kena mengena dengan kenaikan harga tambang e-hailing kerana itu bergantung kepada syarikat untuk menentukan kadar itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu teksi pegang janji Menteri Pengangkutan ]