138 perekacipta rebut Anugerah Emas AHIN 2020

Iklan
Mohd Roslan Mahayudin

KUALA LUMPUR - Seramai 138 perekacipta dan pencipta dari seluruh negara bersaing merebut Anugerah Emas di Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2020 (AHIN 2020) yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

AHIN diadakan bertujuan untuk mengiktiraf perekacipta dan pencipta harta intelek yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara menerusi inovasi mereka.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, peserta menghantar penyertaan mereka yang dibuka pada 7 Julai lalu sehingga tarikh tutup pada 18 September lepas.

Menurutnya, hanya dua kategori iaitu Kategori Perekacipta Harta Intelek dan Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek dipertandingkan pada tahun ini yang melibatkan saringan di peringkat Zon seterusnya ke peringkat Kebangsaan.

Iklan

"Bagi Kategori Perekacipta Harta Intelek, MyIPO menerima sebanyak 68 penyertaan, manakala Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek pula 70 penyertaan. Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan ialah sebanyak RM34,100.

"AHIN 2020 memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek kreativiti, kualiti produk, aplikasi produk, faedah serta nilai tambah produk di mana fokus utama adalah pada keaslian dan kecenderungan inovasi yang dapat mendorong kepada aspek pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Roslan berkata, pada tahun ini tiada sambutan diadakan atas faktor penularan wabak koronavirus (Covid-19) manakala AHIN dilaksanakan dalam skala lebih kecil.

"Penyertaan hanya dibuka kepada pelajar-pelajar institusi kemahiran dan sekolah menengah (individu atau berkumpulan), tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan syarikat besar, universiti serta peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya.

Beliau berkata lagi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi akan menyampaikan anugerah kepada pemenang yang akan di adakan pada 27 Oktober ini.

"Sebagai satu satunya agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga hak harta intelek pendaftar di Malaysia, segala usaha promosi akan terus dipergiatkan oleh MyIPO bagi memberi kesedaran yang menyeluruh akan pentingnya untuk menjaga hak harta intelek kita.

"MyIPO sentiasa menerima pelanggan kami bagi mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat,” katanya.

AHIN merupakan acara kemuncak sambutan Hari Harta Intelek Negara yang mula diadakan sejak tahun 2006 di mana ia merupakan inisiatif MyIPO dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada orang awam akan kepentingan mendaftarkan harta intelek.