Anwar tidak prihatin kesusahan rakyat, kata Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful Wan Jan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melupakan kepentingan rakyat apabila mendakwa mempunyai cukup majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, Anwar juga disifatkan sebagai tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Iklan
Iklan

"Tumpuan kita seharusnya mendoakan kesihatan Yang di-Pertuan Agong dan juga menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat yang kini sedang menghadapi cabaran ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

"Sekarang adalah masa yang amat tidak sesuai untuk mewujudkan apa-apa masalah politik dalam negara. Tindakan sebegini menunjukkan pihak pembangkang yang dikepalai Anwar Ibrahim bukan sahaja tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, malah tidak menghiraukan kesusahan rakyat dan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan.

Iklan

"Ironinya, tatkala Perdana Menteri mengumumkan bagaimana mahu membantu rakyat, hari yang sama juga dipilih oleh Anwar untuk menggugat kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Iklan

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Hari ini Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu dan menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif serta bukannya majoriti tipis.

Anwar turut memberi jaminan bahawa beliau mempunyai 'dokumen tetap yang tidak boleh diragui' bagi membuktikan beliau kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, seluruh Ahli Parlimen dan jentera Bersatu daripada semua peringkat memegang tekad untuk bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat.

"Saya menyeru semua pihak menolak mana-mana ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan mensabotaj usaha pemulihan ekonomi negara demi kepentingan peribadi,” katanya.