Saifuddin hadir perjumpaan Lembaga Rayuan Bersatu

Iklan
Saifuddin Abdullah

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan telah menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membincangkan rayuan berhubung pemecatannya daripada parti itu.

Saifuddin berkata, pertemuan yang berlangsung selama 85 minit itu dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Harun bersama empat anggota Lembaga Rayuan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, dalam sesi tersebut, beliau diberikan ruang untuk menerangkan perkara yang berlaku semasa sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada 6 Disember tahun lalu.

“Dalam hal ini, saya turut membentangkan hujahan berdasarkan surat setebal 12 halaman yang telah saya kemukakan kepada Lembaga Rayuan pada 16 Januari.

Iklan

“Saya menjelaskan bahawa dalam sesi dengan Lembaga Disiplin tersebut, saya telah mengemukakan tiga tuntutan berkaitan prinsip keadilan semula jadi.

“Saya memohon satu tarikh baharu bagi sesi perjumpaan Lembaga Disiplin yang mematuhi prinsip tersebut,” katanya kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Bersatu memecat Saifuddin, berkuat kuasa pada 6 Januari.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia Harris Idaham Rashid, yang menjelaskan pemecatan tersebut susulan pelanggaran Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh ahli Majlis Pimpinan Tertingginya itu.

Menurut Saifuddin, bagaimanapun beliau tidak pernah dipanggil untuk menghadiri sesi perjumpaan Lembaga Disiplin yang baharu sebelum dimaklumkan mengenai keputusan pemecatan.

“Pada 6 Januari, saya menerima pemberitahuan daripada Lembaga Disiplin bahawa keputusan telah dibuat untuk memecat saya.

“Dalam perjumpaan hari ini, Lembaga Rayuan memberi tumpuan khusus kepada aspek prosedur yang telah digunakan oleh Lembaga Disiplin terhadap saya.

“Selain itu, saya turut menyerahkan kepada Lembaga Rayuan, sebuah warkah terbuka setebal 40 halaman bertajuk ‘Muhyiddin Hilang Arah, Wajar Berundur’,” ujarnya.