Peritnya tiada damai - Radzi Jidin luah rasa kecewa

Iklan
Mohd Radzi Jidin

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin memuat naik puisi yang bertajuk 'Peritnya Tiada Damai' seolah-olah menggambarkan perasaan kecewanya terhadap kemelut dalaman parti itu yang tidak berkesudahan.

Puisi yang dimuatkan dengan nada reflektif itu dilihat membawa mesej jelas mengenai usaha berpanjangan mencari kesepakatan, meskipun berdepan cercaan, salah faham serta suasana politik yang semakin berhaba.

Iklan
Iklan

Menerusi bait awal puisi tersebut, Ahli Parlimen Putrajaya itu menggambarkan tempoh masa panjang telah dilalui dalam usaha menyatukan pihak-pihak yang bertelagah, dengan matlamat utama memastikan damai jadi jalan dituju.

Beliau turut menekankan keperluan mengetepikan rasa ragu, cercaan serta nista demi mencapai titik persamaan yang boleh mengembalikan keharmonian dalam perjuangan.

Iklan

Usaha mencari damai itu, menurut puisi berkenaan, bukan sekadar simbolik, sebaliknya menuntut pengorbanan tenaga dan masa, siang dan malam, termasuk mendekati pihak yang semakin menjauh demi memastikan perjuangan terus mendapat keberkatan.

“Menjadikan damai kata azimat, membawa yang jauh kembali mendekat, agar perjuangan mendapat berkat,” tulis beliau.

Iklan

Radzi juga mengingatkan bahawa usaha pendamaian perlu diteruskan walaupun suasana politik semakin tegang kerana terdapat harapan besar daripada rakyat di yang masih bergantung kepada kepimpinan politik dalam membela agama, bangsa dan negara.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap masa depan perjuangan sekiranya perpecahan berlarutan dengan persoalan ke mana arah yang harus dituju untuk memastikan negara dapat bangkit semula.

Puisi itu diakhiri dengan doa dan pengharapan kepada Tuhan agar hadir sinar baharu yang mampu mengikat kembali kesetiaan selepas berlakunya “badai besar” dalam landskap politik semasa.

“Semoga ada cahaya purnama, mengikat rasa setia bersama, selepas badai besar melanda,” tulis beliau.

Bersatu yang berdepan krisis dalaman ketika ini dikatakan mengaitkan nama Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai antara pemimpin yang berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan, Khamis ini.

Ahli Parlimen Larut itu dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan dan serangan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.