SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan pertama menjulang  piala baharu Liga Super selepas cemerlang menjuarai kejohanan tersebut empat tahun berturut-turut.

Berkonsepkan futuristik dan elegen, trofi baharu berkenaan telah direka khas oleh tukang emas Diraja Johor dan dihasilkan melalui gabungan tiga elemen utama iaitu tembaga, perak dan emas tulen 24k.

Piala seberat 20 kilogram dengan ketinggian 63.3 sentimeter dan berdiameter 25.2 sentimeter untuk bahagian tapak itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya memakan masa hampir lapan bulan untuk menghasilkan piala baharu yang diangankan sejak 2015 lalu.

Menurutnya, kombinasi tiga elemen logam utama yang bernilai tinggi itu mempunyai maksud tersendiri selain mempunyai ciri-ciri rekabentuk eksklusif.

"Dengan adanya piala baharu ini menjadikan detik permulaan era baharu bola sepak di negara ini sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

"Ini merupakan permulaan era baharu, kita mahu semua aspek termasuk ganjaran kepada pemenang ditingkatkan pada tahap yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media memperkenalkan trofi baharu Liga Super Malaysia di Hotel Thistle Johor Bahru, hari ini.

Berangkat mencemar duli, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama ialah Timbalan FAM, Datuk Yusof Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Mengulas lanjut keistimewaan piala baharu itu, Yusof berkata, simbolik trofi melambangkan kekuatan dan dinamisme 12 pasukan yang bertanding merebut piala paling berprestij yang melayakjab mereka ke peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau, emas yang merangkul sebiji bola pada bahagian atas trofi menunjukkan nilai tinggi emas sinonim dengan dominasi iaitu hanya pasukan yang layak sahaja boleh merangkul trofi berkenaan selepas penat lelah mencapai kemenangan demi kemenangan untuk menjuarai liga.

"Logo pasukan yang menjuarai liga super setiap tahun akan dipateri di bahagian pusat trofi sebagai simbolik pasukan menjuari liga," katanya.

Untuk rekod, acara gilang-gemilang bagi meraikan kejayaan itu akan berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam esok sejurus berakhir perlawanan menentang pasukan Kelantan dalam saingan liga di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JUARA tujuh kali, Perak dan Felda United gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah mencatat keputusan seri 1-1 berdepan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
  • JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan cuba mencari bekalan selesa pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Perak di Ipoh, malam esok, lapor MOHD FIRDAUS YON.
  • TIMBUL spekulasi bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz kononnya akan kembali menyarung jersi Harimau Selatan, lapor MOHD FIRDAUS YON
  • PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais mengakui kesilapan pertahanan menjadi punca mereka tewas mengejut kepada Felda United 2-3 di Stadium Shah Alam, malam semalam.
  • TERKEJUT! Itu reaksi Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Shahrul Azhar Sofian dengan kenyataan sebuah akhbar tempatan berhubung aksi Perak dan JDT yang dijangka ‘panas’ pada saingan separuh akhir TM Piala Malaysia 2017 kelak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.