Wanita dan perhiasan adalah suatu yang sinonim kerana wanita itu sendiri adalah perhiasan. Umumnya, berhias itu adalah perkara harus. Di dalam al-Quran terdapat ayat yang memerintahkan kita untuk berhias secara khusus iaitu ketika berada di rumah ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT:  Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang cantik di setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah akan tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.

Islam tidak mengharamkan perhiasan secara mutlak. Akan tetapi Islam menggariskan batas-batas dalam berhias, tujuannya adalah untuk pemeliharaan. Sekiranya kita mengkaji dan memahami tujuan sesuatu pensyariatan, ke semua perintah dan larangan ALLAH adalah bertujuan untuk memelihara perkara-perkara dharuriyat iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 33.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya” (Surah An-Nur :31).

Tabarruj yang ditegah di dalam al-Quran adalah bererti larangan mempamerkan perhiasan yang kebiasaannya tidak ditampakkan oleh wanita-wanita baik kecuali di hadapan suami dan mahram sahaja. Atau memakai pakaian yang tidak wajar dipakai, berdandan secara berlebih-lebihan dan berjalan dengan lenggang lenggok sehingga mengundang perhatian kaum lelaki serta merangsang keinginan mereka untuk mengganggu atau memudaratkan wanita tersebut.

Jika kita perhatikan, kecenderungan manusia terutama sekali wanita terhadap kecantikan dan perhiasan adalah sangat tinggi. Sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan sejumlah wang untuk perhiasan diri. Hal ini perlu dipastikan agar ianya tidak bercanggah dengan syarak, tidak mengundang mudarat dan tidak berlebih-lebihan.

Emas sebahagian daripada perhiasan

Dunia mengiktiraf emas sebagai suatu yang bernilai. Emas sejak zaman berzaman dijadikan perhiasan, matawang dan simbol kekayaan. Memiliki emas yang banyak adalah orang yang mempunyai kekayaan. ALLAH menyebut di dalam al-Quran tentang kecenderungan manusia terhadap perhiasan termasuklah emas. Firman ALLAH SWT:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, suka dan gemar kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang banyak terdiri daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) di sisi ALLAH itu ada sebaik-baik tempat kembali (syurga). (Surah Ali-Imran : 14).

Pemakaian emas sebagai perhiasan dalam Islam hanya dikhususkan kepada wanita sahaja. Walaupun begitu bagi lelaki diharuskan memiliki dan menyimpan emas dan tidak dipakai sebagai perhiasan.

Zakat Atas Perhiasan

Secara asalnya emas perhiasan yang dipakai tidak diwajibkan zakat ke atasnya. Akan tetapi para ulama berpandangan sekiranya pemakaian dan pemilikannya itu telah melebihi atau melampaui pemakaian uruf sesuatu tempat, maka dikira sebagai harta lebihan dan dikira seperti harta yang disimpan. Ulama menetapkan bahawa emas perhiasan  tersebut wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.

Di beberapa negeri khususnya di Wilayah Persekutuan menetapkan uruf pemakaian emas perhiasan adalah sebanyak 800 gram. Sekiranya seseorang wanita memiliki dan memakai emas perhiasan sebanyak 800 gram atau lebih, maka diwajibkan baginya untuk mengeluarkan zakat.

Kadarnya sebanyak 2.5% daripada nilai emas yang dimiliki. Sekiranya kurang daripada 800 gram maka ianya tidak wajib untuk dizakatkan.

Bagi emas yang disimpan, nisab dikenakan zakat sekiranya jumlah simpanan emasnya cukup 85 gram atau lebih. Kadar zakatnya juga sebanyak 2.5% daripada nilai emas tersebut. Manakala nisab bagi zakat perak pula adalah sebanyak 595 gram dengan kadar zakatnya sebanyak 2.5% daripada nilai perak tersebut.

Firman ALLAH SWT

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah At-Taubah: 34-35).

Manakala perhiasan yang dipakai dan dihasilkan daripada bahan selain emas dan perak, seperti batu permata, intan, mutiara dan sebagainya, maka para ulama fiqh berpandangan bahawa tidaklah dikenakan apa-apa zakat ke atasnya.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan: "Tidak terjadi perselisihan pendapat di antara para ulama’ mengenai perhiasan wanita selain emas dan perak, bahawa barang-barang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat; kecuali apabila untuk diniagakan."

Kesimpulannya, dalam berhias perlu diketahui batasan dan hak yang perlu ditunaikan. Agar hidup kita sentiasa diberkati dan dilindungi ALLAH SWT. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya ALLAH Maha Indah dan mencintai keindahan” (Riwayat Muslim).