SETIAP Muslim diwajibkan untuk mendatangkan setiap hukum yang terdapat di dalam surah Al-Fatihah seperti makhraj huruf dan tajwid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, akan tetapi, kewajipan berkenan berdasarkan kepada kemampuan seseorang itu.

“Adapun perkara-perkara yang kita tidak mampu maka ALLAH SWT tidak akan membebankan perkara tersebut berdasarkan firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286.

“Justeru, bacaan seperti itu adalah sah dan tidak perlu diulangi solat tersebut kerana solat itu sah,” katanya.

Menurutnya, kita juga diwajibkan untuk sentiasa mempelajari surah Al-Fatihah dan juga rukun-rukun yang lain sehinggalah ia diperakui oleh orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Katanya, jika timbul perasaan waswas bahawa bacaan yang dibaca itu tidak tepat atau betul, maka abaikanlah perasaan itu kerana ia termasuk daripada gangguan syaitan.

Beliau berkata, dalam Mazhab Imam Al-Syafie, membaca surah Al-Fatihah dalam solat adalah salah satu rukun-rukun solat dan ia wajib dibaca dalam setiap rakaat sama ada solat sunat ataupun fardu.

“Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah Al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat, maka solatnya itu tidak sah. Ini jelas melalui sabda Nabi Muhammad SAW dalam riwayat Al-Bukhari.

“Tambahan pula, baca surah Al-Fatihah di dalam solat termasuk di antara rukun qauli (ucapan), yang mana jika ditinggalkannya maka tidak sah solat yang dilakukan. Justeru, bacaan Al-Fatihah itu perlu dibaca dengan lisan iaitu ditutur melalui lidah dan bukannya sekadar dituturkan di dalam hati,” katanya.