PENDEKATAN homeschooling bantu anak berjatidiri dan berkemahiran

“Sejak saya membaca dan menghafaz al-Quran setiap pagi, rasa hidup lebih bermotivasi,” kata Ahmad Mus’ab Imamuddin Khaifiruddin, 12.

Anak sulung kepada Khaifiruddin Ahmad Din, 37, dan Suci Salsabilla Abd Ghani, 37, kini mengikuti pembelajaran di rumah atau “homeschooling”.

Minat Ahmad Mus’ab terhadap al-Quran didorong oleh kedua ibu bapanya yang mendidik dia dan adik-adiknya untuk mencintai al-Quran. Pada mulanya dia hanya membaca al-Quran, selepas itu tertarik untuk menghafaznya.

“Seawal 5 pagi, saya bangun pagi dan kejutkan adik-adik untuk solat Subuh. Sementara menunggu mereka bersiap dan masuk waktu solat, saya akan membaca al-Quran dan menghafaz sehingga jam 7 pagi.

“Sasaran saya adalah menghafaz setengah muka surat al-Quran setiap hari. Jika saya lakukan secara konsisten, ini bermakna, saya boleh hafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun, insya-ALLAH. Tetapi jika tak berjaya, saya akan terus menghafal dan memahaminya hingga ke dewasa. Kini saya sudah menghafal juzuk 29 dan 30.” katanya sambil tersenyum.

Ahmad Mus’ab berpegang kepada pesanan ibu dan bapanya yang pernah menuntut di bidang Diploma al-Quran & Qiraat di Darul Al-Quran, biar baca dan hafaz al-Quran walaupun sedikit, asalkan ia dilakukan secara istiqamah dan berterusan dan memahaminya.

Pendidikan anak

Khaifiruddin berkata, aktiviti bersama al-Quran sekeluarga bermula selepas solat Subuh berjemaah. Setiap ahli keluarga akan membaca satu ayat diikuti dengan terjemahan dan tadabbur secara bergilir.

“Saya suka bertanya kepada anak-anak mengenai al-Quran dengan kehidupan seharian. Sebenarnya saya mahu mereka berasakan al-Quran itu mudah difahami dan didekati. Kita cuba bina kehidupan dengan al-Quran.”

Anak kelahiran Singapura ini bertemu jodoh dengan rakan sekuliah dari Perak yang sama belajar di Darul Quran, pada tahun 2005. Pasangan ini mengambil keputusan untuk mengadakan homeschooling dan menerapkan nilai al-Quran kepada lima anak.

Inisiatif tersebut diambil selepas mereka membuatkan kajian, membaca, berjumpa dan bertanya sendiri dengan mereka yang telah membuat homeschooling.

Menurut Khaifiruddin, rumah mereka kini ibarat bengkel yang mempunyai banyak buku, ada papan tulis, meja, ruang kerja dan peralatan. Halaman rumah digunakan untuk bersukan, kerja bertukang dan berkebun.

Kemudahan komputer untuk kegunaan anak diletakkan di ruang tamu supaya mudah dipantau oleh beliau dan isterinya. Selain itu, setiap anak diperuntukkan masa tertentu untuk melayari internet untuk belajar dan bermain.

“Saya sebenarnya ingin menggalakkan anak sukakan ilmu tanpa dipaksa. Di sekolah, anak terikat dengan silibus dan konsep touch and go, iaitu tidak belajar secara mendalam. Ini boleh menyebabkan kebanyakan mereka hilang minat kepada ilmu.

“Oleh itu, pendekatan kami sebelum menyuruh anak belajar al-Quran, kita mahu mendatangkan minat anak untuk mencintai al-Quran. Dari situ, barulah timbul minat membaca, menghafaz, dan mengkaji isi kandungan al-Quran tanpa dipaksa.

Homeschooling memberi peluang kepada kami untuk membantu anak mencapai apa yang mereka minat berdasarkan kelebihan diri masing-masing. Jika mereka betul-betul berminat pada sesuatu perkara, barulah ada motivasi diri untuk sendiri.”

Beliau yang juga Setiausaha Agung Yayasan Emaan Kemboja berkata, ibu bapa perlu membimbing anak mereka yang menjadi mahir dalam bidang yang diminati untuk menyumbang kepada Islam. Contohnya, Ahmad Mus’ab minat dalam bidang pemprograman komputer dan animasi.

“Alhamdulillah, dia berjaya memasang sendiri komputer tersebut dan berfungsi untuk membuat apa yang diminati termasuk menghasilkan animasi cerita berkaitan Islam dan menggalakkan orang untuk mencintai al-Quran.  

“Sebelum ini, saya pernah menghantar dua anak ke sekolah namun mereka berasa bosan apabila terikat dengan pensil dan kertas. Melalui homeschooling, saya memberi pendedahan pelbagai bidang ilmu kepada anak.

“Anak kedua saya, Aisyah Humaira’, 10 tahun meminati bidang sukan seperti gimnastik dan luncur ais. Mungkin masih terlalu awal untuk dia menjadikan minatnya sebagai kerjaya pada masa akan datang, cuma kita beri dorongan.”

Khaifiruddin memberitahu anak ketiganya, Ahmad Usayd Islahuddin , 8, meminati bidang robotik, manakala anak keempat, Asmaa’ Munirah, 6, lebih cenderung dalam bidang seni lukis dan dan kraftangan.

Anak kelima, Hafsah Az-Zahra’, 2, baru diperkenalkan dengan flashcard perkataan al-Quran. Dalam tempoh sebulan, dia sudah mengenal 90 peratus perkataan al-Quran daripada flashcard tersebut.

Perancangan pembelajaran

Beliau berkata, mana-mana ibu bapa prihatin terhadap anak mereka bila besar hendak jadi kerja apa. Sebenarnya perjalanan anak masih jauh untuk menerokai pelbagai bidang. Tugas ibu bapa adalah memberi pendedahan kepada anak seberapa banyak ilmu dan kemahiran yang boleh.

“Saya dan isteri mengenal pasti minat anak yang berubah dari masa ke masa melalui perbualan seharian dengan mereka. Pendekatan kami terhadap anak adalah terbuka, dan fokus kepada minat anak, serta perkara asas iaitu solat, al-Quran dan bantu melaksanakan kerja-kerja di rumah.

“Waktu pembelajaran adalah fleksibel, mengikut kesediaan anak sama ada di waktu pagi atau malam. Perancangan pembelajaran secara mingguan dibuat setiap Jumaat. Apa yang penting bagi kami adalah disiplin solat. Jika anak boleh jaga solat, perkara lain akan dijaga, insya-ALLAH.”

Khaifiruddin memberitahu, homeschooling memerlukan ibu bapa yang bukan setakat menjadi guru tetapi ketua jabatan untuk membuat perancangan program yang bersesuaian sepanjang setahun bagi anak, termasuklah lawatan sambil belajar.

Beliau juga sering bertemu dengan ramai orang yang bertanya, sebagai ibubapa apakah yang kita mahukan dari anak-anak. Tetapi soalan yang lebih penting ialah apakah yang anak-anak mahukan dan bagaimana kita boleh bantu mereka untuk mencapainya.

Tahap kritikal ketika anak berusia antara 15 dan 16 tahun untuk membuat pilihan bidang sebagai kerjayanya. Khaifiruddin akan mempersiapkan anak ke aliran akademik jika ada yang ingin menceburi bidang profesional seperti jurutera dan doktor.

“Saya berharap apabila anak meningkat dewasa, mereka boleh buat keputusan sendiri dan ambil tanggungjawab. Dengan pendekatan homeschooling dan nilai-nilai al-Quran, anak-anak dapat membangun secara holisitik dari segi intelektual, emosional, fizikal dan spiritual,” katanya.