IMAM al-Shafie (m.204 Hijrah) pernah berkata, “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan al-Sunnah.”

Imam al-Shafie menggambarkan bahawa sebilangan manusia sangat mudah terpengaruh dengan keajaiban dan perkara-perkara pelik dan ganjil yang mampu dilakukan oleh seseorang manusia lain, lantas mengangkatnya sebagai guru. Padahal tanpa disedarinya, individu yang diagung-agungkan itu mengamalkan ajaran sesat.

    Faktor kehebatan dan ‘karamah’ seorang guru mampu mengaburi pandangan mata para pengikutnya lantas membina tembok taksub yang sukar dirobohkan. Sedangkan perkara-perkara ganjil itu tidak semestinya tergolong dalam ‘karamah’ para wali, tetapi juga boleh terjadi dengan perantaraan sihir yang didampingi jin dan syaitan. Justeru, standard piawaian yang diletakkan oleh Imam al-Shafie adalah cukup jelas, iaitu seseorang guru, sehebat mana sekalipun, sekiranya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak, maka guru tersebut pastinya bukan seorang guru mursyid yang layak untuk diikuti.

    Contohnya, apabila seorang guru sesuatu kumpulan mengaku dirinya adalah Tuhan! Sudah pastinya, akal yang waras akan menolak dakwaan ini kerana mustahil manusia seperti mereka yang terdedah kepada kesakitan dan kematian boleh menjadi Tuhan. Sesungguhnya, dakwaan pelik ini tertolak dengan mudah tanpa perlu kepada penelitian dan rujukan kepada para alim ulama.

Demikian juga, individu yang mendakwa dirinya dilantik oleh ALLAH sebagai nabi bagi mewakili kelompok tertentu atau negeri tertentu, nescaya dakwaannya itu secara terang-terangan adalah suatu pembohongan yang nyata. Ini adalah kerana, dalam ayat 40 surah al-Ahzab, secara jelas menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman dan tidak ada lagi rasul dan nabi setelah kewafatan Baginda.

Dakwaan yang mirip dengan dakwaan ini, adalah dakwaan seseorang tokoh mana-mana kumpulan yang mengaku bahawa kononnya dia menerima wahyu dari Tuhan. Sedangkan wahyu disampaikan oleh malaikat Jibril, dan berakhir setelah kewafatan Rasulullah SAW. Para pengikut ajaran ini seharusnya berfikir secara logik, bagaimana guru mereka boleh mendakwa menerima wahyu, sedangkan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang jauh lebih mulia serta dijamin syurga, tidak seorang pun mereka mendakwa pernah mendapat wahyu dari ALLAH.

Kenali ciri-ciri    

Selain itu, kenyataan yang lazimnya dilakukan oleh tokoh-tokoh kumpulan ajaran sesat adalah mendakwa dirinya Imam Mahdi yang dibangkitkan sebagai penyelamat umat pada akhir zaman. Dakwaan ini dapat dikesan pembohongannya secara jelas apabila kita meneliti ciri-ciri Imam Mahdi yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda.

Antara ciri-ciri utama Imam Mahdi yang dinyatakan dalam hadis baginda ialah beliau berketurunan Arab Quraisy. Justeru adalah sangat melucukan apabila terdapat individu berbangsa Melayu dan tidak mengerti Bahasa Arab, bahkan jahil dalam asas-asas agama  tergamak mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi.

    Ajaran sesat juga boleh dikesan dengan dakwaan ganjil dari para gurunya. Contohnya seseorang guru mendakwa boleh menguasai jin dan berupaya mengarahkan mereka mengikuti arahannya dan menundukkan binatang buas di hutan belantara. Sedangkan kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman AS. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim menyatakan perkara berikut, di mana Nabi Muhammad SAW  bersabda  yang bermaksud:

“Sesungguhnya jin Ifrit telah muncul di hadapanku secara tiba-tiba pada malam tadi,  ALLAH telah membantuku menguasainya. Aku ingin mengikatnya di salah satu tiang di antara tiang-tiang masjid sehinggalah menjelang waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Tetapi aku kemudiannya teringat kepada perkataan saudaraku Nabi Sulaiman yang pernah berdoa: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh sesiapa pun setelahku”. Maka aku pun melepaskan  (Jin Ifrit itu) pergi dengan hinanya.”

Jelas, hadis ini memberi gambaran bahawa mana-mana invidividu yang mendakwa boleh menguasai jin sebenarnya sedang melakukan pembohongan yang nyata untuk mempengaruhi manusia mengikutinya.

 Teliti amalan

Terdapat juga kumpulan ajaran sesat yang mudah dikenali dengan meneliti  amalan-amalan yang dilakukan oleh mereka yang jelas bertentangan dengan amalan-amalan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Contohnya terdapat program anjuran sebuah kumpulan supaya berzikir dalam keadaan bertelanjang, kononnya sebagai latihan untuk menghadapi suasana Padang Mahsyar di mana manusia dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian.

Menurut guru ajaran ini, latihan untuk membiasakan diri dengan suasana ini seharusnya dimulakan ketika masih hidup di dunia lagi. Antara contoh lain ialah mendakwa bahawa amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam seperti solat, puasa dan rukun-rukun Islam yang lain telah dimansuhkan. Dakwaan-dakwaan sebegini jelas bertentangan dengan syariat dan tidak masuk akal, tetapi malangnya, terdapat segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan ajaran ganjil seperti ini.

    Selain itu, antara ciri-ciri ajaran sesat yang boleh dikenalpasti ialah perbuatan ahli kumpulan mereka yang mencerca para ulama dan tokoh-tokoh Muslim terdahulu, khususnya para sahabat RA, antaranya Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab RA. Bahkan mereka tergamak mencaci-maki isteri-isteri Baginda yang sepanjang hidup berkhidmat dengan seluruh jiwa raga mereka kepada Nabi Muhammad SAW.

Golongan sebegini sudah pastinya tersesat dari landasan yang benar kerana adalah mustahil Nabi Muhammad SAW meredhai dan memperakui mana-mana golongan yang mencela sahabat-sahabat dan isteri-isteri baginda.

    Justeru, umat Islam di Malaysia perlu memantapkan aqidah masing-masing berlandaskan pegangan  Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam. Hadirlah ke kelas-kelas agama dan dengarlah ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah yang telah mempunyai tauliah dari Majlis Agama Islam negeri-negeri.

Ini kerana, penelitian, proses saringan dan ujian yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebelum sesuatu tauliah dikeluarkan adalah bagi memastikan penceramah yang ditauliahkan berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak sesat atau menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

Seterusnya, kaedah yang dikemukakan oleh Imam al-Shafie adalah sangat penting untuk difahami supaya umat Islam boleh menilai dakwaan-dakwaan batil individu-individu yang memimpin ajaran sesat.

Di samping itu, umat Islam di Malaysia seharusnya peka dengan fatwa negeri-negeri di Malaysia yang mewartakan ajaran-ajaran yang didapati sesat dan menyeleweng dari pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.