PARIS - PERANCIS . Vietnam telah menarik diri daripada persaingan bagi merebut jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebelum pusingan ketiga pengundian, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pengerusi Lembaga Eksekutif Unesco, Michael Worbs berkata calon Vietnam Pham Sanh Chau telah mencapai kemajuan luar biasa dalam pusingan kedua dan menambah bahawa keputusan untuk menarik diri itu mencerminkan satu analisis yang mendalam berhubung situasi semasa.

Ketika kempen, rakan-rakan di peringkat antarabangsa telah mempelajari lebih lanjut tentang Vietnam, polisi dan rakyatnya.

Ketika bertemu Timbalan Menteri Luar Vietnam Ha Kim Ngoc pada persidangan ke-202 Lembaga Pengarah Unesco, Ketua Pengarah badan dunia itu Irina Bokova memuji kempen  Vietnam serta keupayaan dan semangat Chau.

Dalam pusingan pertama bagi merebut jawatan itu, Vietnam telah menghantar mesej yang jelas kepada rakan-rakan di peringkat antarabangsa bahawa negara itu berhasrat menyumbang lebih kepada komuniti antarabangsa.

Pada pusingan ketiga, calon Perancis Audrey Azoulay meraih 18 undi dan berkongsi tempat pertama dengan Hammad bin Al-Kawari dari Qatar manakala calon Mesir Moushira Khattab menduduki tempat ketiga dengan 13 undi.

Pusingan keempat dijadual berlangsung pada 12 Oktober. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PARIS - PERANCIS. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kelmarin meluluskan resolusi negara Arab yang mengkritik Israel kerana gagal membina semula kawasan yang musnah akibat peperangan selain mencabuli tapak warisan di wilayah terbabit.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.