• Antara rakyat Mesir yang mengundi dalam referendum semalam. - Foto ihsan CNN Antara rakyat Mesir yang mengundi dalam referendum semalam. - Foto ihsan CNN
1 /

KAHERAH - Keputusan tidak rasmi awal hari ini menunjukkan draf perlembagaan, yang digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, menerima sokongan rakyat Mesir.

Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan pengiraan undi pihak Ikhwanul Muslimin dan akhbar separa rasmi, al-Ahram, demikian menurut laporan CNN.

Pengundian peringkat kedua semalam melibatkan 17 wilayah berakhir 11 malam waktu tempatan.

Menurut Ikhwanul Muslimin, parti menyokong kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, 'keputusan akhir' menunjukkan 64 peratus mengundi menyokong perlembagaan baru berbanding 36 peratus menentang.

Laporan CNN menyebut keputusan rasmi tidak mungkin akan diumumkan sehingga lewat hari ini.

Pusingan pertama minggu lalu diadakan di wilayah yang liberal di Kaherah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Agung merancang untuk menghebahkan keputusan rasmi melalui sidang akhbar tidak lama lagi.

Berlaku kontroversi melibatkan draf perlembagaan itu sehingga mencetuskan keadaan tegang di Mesir.

Menurut media, ketegangan terbaru kelmarin menyebabkan 77 cedera dan pihak polis turut terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan tekanan.

Pengundian turut dicemari dengan dakwaan sabotaj apabila 123 kumpulan hak asasi tempatan mengadu mengenai ugutan rasuah dan suruhan jaya pilihan raya berjanji untuk menyiasat perkara itu.

Kumpulan minoriti pembangkang pula mendakwa mereka dikecualikan dan suara mereka tidak pernah didengar berhubung draf perlembagaan kontroversi ini.

Pembangkang pula merasakan piagam ini agak mengelirukan dan tidak akan melindungi hak rakyat Mesir yang berjuang dalam revolusi semasa menggulingkan Hosni

Penyokong perlembagaan pula mendakwa ia digubal untuk melindungi hak peribadi terutamanya peruntukan pengendalian tahanan dalam sistem kehakiman.

Kumpulan hak asasi antarabangsa,  Human Rights Watch pula berkata perlembagaan baru itu melindungi bebrapa hak tetapi ia melemahkan orang lain.

Ia juga gagal melindungi kebebasan bersuara dan agama.