MOSCOW - RUSIA.  Seorang lelaki warga Brazil yang ditahan ketika menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Rusia akan dihantar balik ke negara asalnya untuk menghadapi tuduhan merompak pejabat pos, menurut sebuah mahkamah di Rusia pada Ahad.

Sementara menunggu proses penghantaran balik, suspek dikenali Rodrigo Denardi Vicentini yang mempunyai waran tangkap antarabangsa akan ditahan sementara di Rusia kira-kira dua bulan.

Suspek ditahan ketika menonton perlawanan yang menyaksikan Brazil mewaskan Costa Rica 2-0 di St Petersburg pada Jumaat.

Menurut Mahkamah Petrograd St Petersburg, suspek dikehendaki kerana didakwa terbabit dalam beberapa siri rompakan berkumpulan yang menyasarkan pejabat pos pada tahun lepas.

Akhbar dalam talian Rusia, Fontanka sebelum ini melaporkan, kehadiran Vicentini pada perlwawanan itu dikesan oleh Interpol, yang bekerjasama dengan polis Rusia dan Brazil.

Polis menunggu perlawanan tamat sebelum tangkapan dilakukan, bagi memastikan keadaan terkawal dan penonton lain tidak terkejut.

Suspek yang memegang dua kerakyatan iaitu Brazil dan Itali, menetap dan bekerja di Britain sejak tahun lepas. - Bernama