BEIJING - CHINA. Lebih 540 suspek disyaki terlibat dalam sindiket perjudian bola sepak dalam talian sempena Piala Dunia 2018 membabitkan lebih AS$1.5 bilion (RM6.06 bilion) diberkas di China.

Semalam, agensi berita Xinhua melaporkan kesemua individu tersebut mempunyai kaitan dengan lebih 20 kumpulan.

"Kira-kira 70 aplikasi mudah alih dan 250 kumpulan sembang dalam talian telah ditutup," jelas laporan itu lagi tanpa memberikan butiran lanjut.

Polis di wilayah Guangdong turut merampas pelayan, komputer, telefon bimbit dan kad bank dalam serbuan itu.

Mei lalu, pihak berkuasa juga menumpaskan platform perjudian dalam talian mempunyai 330,000 ahli yang menerima mata wang kripto, Bitcoin.

Seramai enam penganjur utama diberkas selain aset mereka bernilai lebih AS$750,000 (RM3 juta) dibekukan dan mata wang maya berjumlah lebih AS$1.5 juta (RM6.06 juta) dirampas. - AFP