WAMENA - INDONESIA. Pasukan keselamatan Indonesia menemui 16 mayat dipercayai pekerja binaan selepas insiden serangan berdarah dilancarkan puak pemisah di wilayah Papua, menurut tentera, hari ini.

Kesemua mayat tersebut akan dipindahkan ke bandar Timika dari daerah terpencil Nduga, kawasan pergunungan di mana insiden menggemparkan itu berlaku pada Ahad lalu.

"Maklumat terbaharu adalah sebanyak 16 mayat telah ditemui," kata jurucakap tentera, Komander Binsar Panjaitan.

Tentera bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dan butiran lanjut tentang bagaimana mereka dibunuh.

Difahamkan, 15 termasuk tujuh pekerja telah dipindahkan dari kawasan tersebut.

Sebelum ini, saksi mendakwa sekurang-kurangnya 19 maut akibat ditembak atau leher mereka dikelar oleh kumpulan pemisah tersebut manakala media tempatan meletakkan jumlah kematian antara 24 dan 31 orang. - AFP