SEOUL - KOREA SELATAN. Pyongyang dan Seoul,hari ini membuka hotline untuk pemimpin mereka seminggu sebelum sidang kemuncak antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Zon Bebas Tentera (DMZ).

Talian itu menghubungkan Rumah Biru di Seoul dengan pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Negara di Pyongyang yang dipengerusikan oleh Jong-un.

"Hotline bersejarah antara pemimpin Korea telah diwujudkan," kata pegawai kanan Rumah Biru, Youn Kun-young yang menjelaskan ujian perbualan turut berlangsung selama empat minit dan 19 saat.

Jelasnya, komunikasi itu berjalan lancar selain kualiti sambungannya juga adalah baik.

"Ia seperti sedang bercakap dengan 'jiran'," ujarnya lagi.

Difahamkan, hotline terbabit yang membolehkan komunikasi secara langsung antara Jong-un dan Jae-in adalah langkah terbaharu di bawah perkembangan diplomasi di Semenanjung Korea yang bermula ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang pada Februari lalu. - AFP