KABUL - AFGHANISTAN. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pedalaman di timur laut Afghanistan diteruskan hari ini selepas insiden itu meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan memusnahkan ratusan struktur.

Jurucakap di Kementerian Pengurusan Bencana memaklumkan salji mencair di pergunungan Panjshir, wilayah utara Kabul telah menyebabkan paras air tasik meningkat dan membanjiri perkampungan di kaki gunung.

"Jumlah kematian dijangka meningkat. Aliran lumpur telah menenggelamkan kebanyakan rumah dan turut memusnahkan dua masjid serta pasar utama," kata Omar Mohammadi.

Kira-kira 10 perkampungan terjejas teruk dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pejabat Gabenor Panjshir dalam satu kenyataan memberitahu lumpur dan hujan lebat berterusan telah mengakibatkan air sungai melimpah ke lembah.