TEHERAN - IRAN. Sekurang-kurangnya 60 penumpang dan enam kru terbunuh dalam nahas pesawat di tengah Iran ketika ia dalam perjalanan dari ibu negara ke bandar barat daya Yasuj, menurut pihak berkuasa, hari ini.

"Pesawat enjin berkembar ATR 72 dikendalikan Aseman Airlines itu terhempas di Gunung Dena berhampiran bandar Semirom akibat cuaca buruk. Lokasi kejadian sukar diakses dan kabus tebal serta hujan berterusan menyukarkan helikopter penyelamat untuk mendarat," menurut jurucakap syarikat penerbangan tersebut.  

Sementara itu, jurucakap perkhidmatan kecemasan Iran, Mojtaba Khaledi memaklumkan pasukan penyelamat telah dihantar ke lokasi terbabit untuk mengesan bangkai pesawat tersebut.

"Kami akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat (Sar) walaupun terpaksa berdepan cuaca buruk," jelasnya.

Difahamkan, pesawat itu dilaporkan hilang dari radar 50 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran pada jam 8 pagi (waktu tempatan)

Stesen penyiar IRIB mengesahkan lokasi pesawat itu terhempas kira-kira 23 kilometer (km) dari Yasuj terletak kira-kira 500 km dari selatan ibu negara. - Press TV