SAO PAULO - BRAZIL . Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang penjara keselamatan maksimum di timur laut Brazil, semalam mengakibatkan lebih 100 banduan melarikan diri, kata pihak berkuasa.

Serangan dilakukan kira-kira 20 lelaki menggunakan empat kenderaan.

Mereka dilaporkan menyerang menara kawalan dan menggunakan letupan untuk memusnahkan pintu depan penjara Romeu Goncalves Abrantes terletak Joao Pessoa, yang menempatkan 680 banduan.

"Kumpulan lelaki bersenjata berat memusnahkan pintu utama, selepas berbalas tembakan dengan polis dan kakitangan penjara,” kata sekretariat penjara negeri.

Menjelang tengah hari, 41 daripada 105 banduan yang melarikan diri berjaya ditahan semula oleh pihak berkuasa. - AFP