ISTANBUL - TURKI. Sekumpulan kecil pelarian Syria mengadakan perhimpunan aman di Dataran Taksim di ibu negara Turki ini bagi menggesa pihak relevan menamatkan perang saudara yang sudah berlarutan selama enam tahun di negara mereka.

Kumpulan 30 lelaki itu  memegang plakad dan bendera Syria sambil melaungkan berulang kali  dalam bahasa Arab,  menggesa agar konflik tersebut dihentikan, manakala mereka yang lalu lalang merakamkan gambar dan video suasana tersebut di kawasan beli-belah yang sibuk itu.

Polis Turki menyediakan kawasan khas berpalang untuk kumpulan tersebut berhimpun dan anggota polis bersenjata memantau perhimpunan itu.

Seorang anggota kumpulan itu, Salah Fariz, 43, berkata perhimpunan tersebut adalah untuk menyuarakan permintaan mereka kepada masyarakat dunia agar membantu pelarian Syria di Turki.

Salah turut memuji tindakan kerajaan Turki membantu pelarian Syria di negara itu, yang kini jumlahnya  lebih tiga juta orang.

"Kerajaan Turki menyokong kami rakyat Syria (pelarian)... kami bimbang, jika hanya mereka sahaja yang menyokong kami.

"Kami perlu sokongan daripada negara-negara lain, kami perlu bantuan dari negara Islam dan Arab," katanya kepada Bernama.

Salah melarikan diri ke Turki tiga tahun lepas sebaik konflik tersebut merebak ke selatan Syria.

Beliau meninggalkan negara tersebut bersama-sama isteri dan tiga anak selepas adiknya melarikan diri dari pusat tahanan kerajaan Syria selepas ditahan di situ selama tiga bulan.

"Adik saya ada dengan saya dan kami kini bersama-sama di Turki," katanya.

Dilaporkan kira-kira  empat juta pelarian Syria melarikan diri ke negara-negara jiran sejak enam tahun lalu dan kini dibelenggu kemiskinan.

Malaysia turut menyatakan kesediaan dan komitmen untuk menerima 3,000 pelarian Syria bagi tempoh  tiga tahun atas dasar perikemanusiaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ISTANBUL - TURKI.Lonjakan penghijrahan ke Eropah adalah sangat positif bagi ekonomi Kesatuan Eropah (EU), menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
  • ISTANBUL - TURKI. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan pembinaan sebuah bandar baharu di Syria untuk menjadi tempat perlindungan jutaan pelarian yang melarikan diri dari zon konflik.