MOSCOW - RUSIA. 'Mereka bukan penjenayah'.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin merujuk kepada dua individu dinamakan Britain sebagai suspek meracun bekas perisik Moscow, Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya, Yulia, 33, di Salisbury pada Mac lalu.

"Kami kenal mereka kerana kami telah kesan mereka. Saya harap mereka akan tampil dan memberi penjelasan kepada umum. Saya jamin ia tiada kaitan dengan jenayah. Kita akan ketahui tidak lama lagi," katanya di bandar Vladivostok.

Minggu lalu, kerajaan Britain menamakan mereka sebagai Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov masing-masing berusia 40 tahun adalah daripada perkhidmatan risikan tentera Rusia, GRU.

Scotland Yard dan Perkhidmatan Pendakwaan Diraja Britain (CPS) berkata mereka mempunyai bukti untuk mendakwa kedua-dua lelaki tersebut yang dipercayai memasuki London dari Moscow menggunakan pasport Rusia pada 2 Mac lalu.

Dua hari kemudian mereka didakwa menyembur agen saraf Novichok di hadapan rumah Skripal di bandar Wiltshire, Salisbury sebelum kembali semula ke Rusia.

Difahamkan, CPS tidak memohon ekstradisi terhadap kedua-dua lelaki terbabit kerana Moscow tidak berbuat demikian ke atas rakyatnya sendiri.  - BBC